MOSCOW, 11 MAC – Kapal tangki Stena Immaculate, yang terlibat dalam perlanggaran dengan kapal kontena lain di perairan United Kingdom (UK) dilaporkan membawa lebih 200,000 tong bahan api jet ketika insiden berlaku, lapor Sputnik.
“Kami masih belum dapat menentukan jumlah bahan api yang mungkin bocor akibat kejadian ini. Semasa pelanggaran berlaku, Stena Immaculate sepanjang 183 meter membawa 220,000 tong bahan api jet dalam 16 tangki kargo berasingan,” menurut kenyataan pengendali kapal itu, Crowley.
Sekurang-kurangnya satu tangki yang mengandungi bahan api Jet-A1 dilaporkan mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, pengawal pantai UK menghentikan pencarian seorang anak kapal yang hilang selepas insiden itu, dengan kedua-dua kapal masih terbakar, menurut Komander Bahagian Pengawal Pantai, Matthew Atkinson.
Seramai 36 kru lain telah dibawa ke darat, dengan seorang daripada mereka dikejarkan ke hospital. Insiden berlaku kelmarin apabila kapal tangki Stena Immaculate bertembung dengan kapal kontena Solong di perairan timur UK. – Bernama
