Tuesday, December 17, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal tangki minyak karam di Laut Hitam, seorang maut

    MOSCOW, 16 DIS – Rusia melancarkan usaha menyelamat kelmarin selepas dua kapal tangki minyak tenggelam dalam laut bergelora di luar pantai Crimea dan salah satu daripada kapal tersebut pecah, mengorbankan seorang kru kapal serta menyebabkan tumpahan minyak.

    Kedua-dua kapal tangki yang membawa ribuan tan minyak itu dilaporkan rosak semasa ribut di Selat Kerch antara Crimea dan wilayah Krasnodar di selatan Rusia, menurut agensi berita Rusia.

    “Hari ini, akibat ribut di perairan Laut Hitam, dua kapal tangki, Volgoneft-212 dan Volgoneft-239 telah musnah. Di atas kapal terdapat kru seramai 15 dan 14 orang. Akibat kemalangan ini, berlaku tumpahan minyak,” kata agensi pelayaran persekutuan Rosmorrechflot.

    Laporan mengenai jumlah kru adalah berbeza-beza, dengan Kementerian Situasi Kecemasan menyatakan jumlah kru seramai 13 dan 14 orang.

    Rakaman yang dimuat naik di dalam talian menunjukkan bahagian belakang kapal Volgoneft-212 pecah dan terapung secara menegak di dalam air. Interfax melaporkan bahawa beberapa anggota kru berada di dalam air.

    Kementerian Situasi Kecemasan kemudian menyatakan 13 kru telah dipindahkan dari kapal pertama, tetapi ‘malangnya salah seorang daripada mereka telah meninggal dunia’.

    “Dua kapal tunda dan dua helikopter telah dihantar ke kapal tangki tersebut. Pemindahan sedang dijalankan,” kata agensi pelayaran persekutuan itu, menambah bahawa “langkah-langkah sedang diambil untuk membendung tumpahan minyak’. – AFP

    Gambar tangkap layar yang dikeluarkan Pejabat Pendakwa Pengangkutan Selatan Rusia, menunjukkan kapal tangki Volgoneft-212 yang karam akibat ribut di Selat Kerch, Rusia pada 15 Disember. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda