KOTA TINGGI, 1 MEI – Tiga kru kapal hilang manakala 25 lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah kapal tangki berdaftar dari Gabon, Afrika terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di sini petang tadi.
Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerusi Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru menerima makluman berhubung kejadian itu pada 4 petang.
Beliau berkata kapal tangki tersebut dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal.
“Operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) diaktifkan pada petang tadi dan sebuah bot ronda Maritim Malaysia PETIR 12 diatur gerak ke lokasi kejadian dan berjaya menyelamatkan dua kru kapal tangki tersebut.
“Seramai 23 orang lagi diselamatkan oleh dua kapal yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala baki tiga kru dilaporkan masih hilang,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Nurul Hizam berkata maklumat lanjut mengenai kru kapal berkenaan sedang diperoleh dan punca kejadian masih dalam siasatan. – Bernama