Tuesday, October 15, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal tentera laut karam, 31 anak kapal dilaporkan hilang

    BANGKOK, 19 DIS – Tentera Laut Diraja Thailand meneruskan misi mencari 31 anak kapal korvet HTMS Sukhothai yang hilang ketika ribut di Teluk Thailand, kelmarin.

    Jurucakap Tentera Laut, Laksamana Pokkrong Monthatpalin berkata setakat 12 tengah hari (waktu tempatan) hari ini, 75 daripada 106 orang anak kapal telah diselamatkan.

    Namun, 31 orang anak kapal masih hilang, tambahnya. Operasi mencari dan menyelamat melibatkan dua buah helikopter Seahawk, dua buah kapal frigat dan sebuah kapal amfibia, menurut kenyataan daripada Tentera Laut.

    Selain itu, Tentera Udara Diraja Thailand berkata bahawa mereka turut membantu dalam operasi tersebut, tanpa memberikan sebarang butiran.

    Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha berkata punca kejadian itu sedang disiasat.

    Gambar yang diserahkan oleh Tentera Laut Diraja Thailand, menunjukkan kapal korvet HTMS Sukhothai hampir terbalik di luar pesisir pantai wilayah Prachuap Khiri Khan,
    baru-baru ini.- AP

    “Saya mengikuti perkembangan ini dengan rapat, kira-kira lima orang anak kapal mengalami kecederaan serius,” tambahnya dalam satu kenyataan.

    Laksama Pokkrong Monthatpalin berkata korvet (kapal perang yang kecil dan laju) itu tenggelam di 20 batu nautika dari jeti di Bang Saphan di Prachuap Khiri Khan pada kira-kira 11:30 malam (waktu tempatan), kelmarin.

    Menurut laporan, kejadian berpunca akibat ombak besar menghempas kapal berkenaan yang menyebabkan enjin dan sistem elektriknya rosak. Keadaan itu juga mengakibatkan kapal berkenaan senget.

    “Operasi menyelamat dilancarkan serta-merta. Kapal tentera laut dan helikopter telah dikerahkan ke lokasi kejadian,” katanya.

    Beberapa buah kawasan di selatan Thailand dilanda ribut dan banjir sejak beberapa hari kebelakangan.

    Pejabat meteorologi Thailand hari ini berkata angin kuat berpunca daripada keadaan ribut di Teluk Thailand, dan mereka memberi amaran kepada anggota mencari dan menyelamat untuk meneruskan operasi dengan berhati-hati dan bot-bot kecil dinasihatkan untuk terus berada di darat.

    Korvet yang dibuat di Amerika Syarikat itu telah digunakan sejak 1987. – Bernama/AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda