Tuesday, December 3, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal tentera laut NZ karam terlanggar terumbu karang

    WELLINGTON, 29 NOV – Menurut hasil siasatan tentera hari ini, sebuah kapal tentera laut New Zealand yang terlanggar sebuah terumbu karang berhampiran Samoa dan tenggelam berpunca akibat kru kapal secara tidak sengaja membiarkannya dalam mod ‘autopilot’.

    Puluhan pelaut berjaya diselamatkan dari HMNZS Manawanui pada Oktober lalu setelah kapal itu melanggar terumbu, terbakar dan akhir-nya tenggelam di selatan pulau utama Samoa, Upolu.

    Manawanui, salah sebuah dari sembilan kapal yang beroperasi dalam armada tentera laut kecil New Zealand, telah dihantar untuk memetakan dasar laut.

    Siasatan oleh mahkamah tentera hari ini mendapati bahawa kapal peninjau itu tenggelam akibat ‘autopilot yang tidak dimatikan apabila ia sepatutnya dimatikan’.

    “Terus kekal dalam mod autopilot menyebabkan kapal mengikut arah menuju daratan, hingga terhempas dan akhirnya terkandas.”

    Gambar yang disediakan oleh Pasukan Pertahanan New Zealand menunjukkan tinjauan penyelam HMNZS Manawanui di pantai selatan Upulo, Samoa, selepas Manawanui terkandas dan tenggelam pada 6 Oktober lalu. – AP

    Ahli kru menyedari kapal itu telah keluar dari laluan dan cuba mengubah arah, percaya mereka telah kehilangan kawalan disebabkan “kegagalan kawalan pendorong.”

    Namun, mereka terlupa untuk memeriksa jika autopilot telah dimatikan terlebih dahulu, kata tribunal itu. Sebaliknya, kapal itu “mula memecut ke arah terumbu.”

    Kapal itu karam dan terhenti di bahagian terumbu yang stabil kira-kira 30 meter di bawah permukaan laut.

    Kapal itu membawa 950 tan diesel ketika karam, menimbulkan kebimbangan mengenai tumpahan minyak yang boleh memusnahkan hidupan liar dan mencemarkan sumber makanan penting.

    Tentera Laut New Zealand sebelum ini berkata bahawa tangki bahan api utama kelihatan tidak terjejas. Pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mengambil semula bahan api tersebut tanpa kebocoran besar.

    Tiada kematian dilaporkan dalam insiden itu, walaupun beberapa pelaut mengalami kecederaan ringan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda