KHANH HOA, VIETNAM, 11 OGOS – Fregat 016 – Quang Trung bersama delegasi Tentera Laut Vietnam berlepas dari Pelabuhan Tentera Cam Ranh di wilayah Khanh Hoa kelmarin untuk menyertai Eksesais Tentera Laut Multilateral ASEAN ketiga (AMNEX 3) di Pulau Pinang, Malaysia.
Menurut agensi berita Vietnam (VNA), sepanjang berada di Malaysia, Fregat 016 – Quang Trung dan delegasi Vietnam akan mengambil bahagian dalam aktiviti di pelabuhan, Tinjauan Armada Tentera Laut ASEAN, serta latihan di laut.
Program AMNEX 3 merangkumi majlis pembukaan dan penutupan, perarakan jalanan, Mesyuarat Teknikal Tentera Laut ASEAN, lawatan kapal dan resepsi, tinjauan armada, manuver formasi dan pengisian bekalan di laut, latihan tindak balas ancaman keselamatan maritim menggunakan bot laju, penggambaran formasi udara serta latihan penghormatan di laut.
Latihan itu bertujuan meningkatkan koordinasi dalam menangani cabaran keselamatan maritim bersama, selain mengukuhkan hubungan, kerjasama, persefahaman dan saling mempercayai antara tentera laut yang mengambil bahagian, demi keamanan, kestabilan, kerjasama dan pembangunan di rantau itu serta dunia.
Penyertaan Vietnam dalam AMNEX 3 menunjukkan komitmennya sebagai anggota Mesyuarat Panglima Tentera Laut ASEAN (ANCM) dan sebagai respons kepada jemputan Tentera Laut Diraja Malaysia, sekali gus menyatakan sokongan terhadap aktiviti pelbagai hala antarabangsa yang dianjurkan Malaysia. – Bernama


