Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal terakhir flotila kemanusiaan ke Gaza dipintas

    BAITULMAQDIS, 3 OKT – Penganjur flotila bantuan ke Gaza berkata Israel telah memintas kapal terakhir mereka hari ini, selepas pemintasan kapal lain sebelum ini mencetuskan protes di seluruh dunia.

    Global Sumud Flotilla belayar bulan lalu dengan membawa ahli politik dan aktivis termasuk Greta Thunberg, menuju Gaza yang menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kini berdepan kebuluran.

    Tentera laut Israel mula memintas kapal-kapal itu pada Rabu, dan seorang pegawai Israel kelmarin menyatakan lebih 400 orang di dalam beberapa kapal telah dihalang daripada sampai ke Gaza.

    Israel berkata pihaknya akan menghantar pulang para aktivis ke Eropah, sambil menambah bahawa tiada kapal yang berjaya menembusi sekatan maritim terhadap wilayah berkenaan.

    “Marinette, kapal terakhir Global Sumud Flotilla, telah dipintas pada jam 10:29 pagi waktu tempatan, kira-kira 42.5 batu nautika dari Gaza,” kata penganjur flotila itu di Telegram.

    Kenyataan itu menambah pasukan tentera laut Israel telah ‘memintas secara haram kesemua 42 kapal kami, setiap satunya membawa bantuan kemanusiaan, sukarelawan, serta tekad untuk memecahkan sekatan haram Israel ke atas Gaza.’

    Pemintasan kapal terakhir itu, yang menandakan tamatnya misi flotila berkenaan, berlaku hanya beberapa jam selepas protes besar-besaran di seluruh dunia mengecam tindakan Israel. Kira-kira 15,000 orang berarak di Barcelona, Sepanyol, lokasi bermulanya pelayaran flotila tersebut, sambil melaungkan slogan termasuk ‘Gaza, kamu tidak sendirian’, ‘Boikot Israel’ dan ‘Kebebasan untuk Palestin’.

    Ratusan orang turut berhimpun di luar parlimen Ireland di Dublin, di mana Miriam McNally, yang anak perempuannya turut menyertai flotila, berkata beliau sangat bimbang. Protes juga tercetus di Paris, Berlin, The Hague, Tunis, Brasilia dan Buenos Aires, menurut wartawan AFP. – AFP

    Marinette, kapal terakhir Global Sumud Flotilla, telah dipintas pada jam 10:29 pagi waktu tempatan, kira-kira 42.5 batu nautika dari Gaza, kelmarin. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda