Oleh Shanika Abdul Latib
SIK – Masih ingatkah lagi replika kapal terbang gergasi yang pernah menarik ribuan pengunjung ke Kampung Batu Besar, Sik pada musim Pilihan raya Umum Ke 13 yang lepas?
Walaupun replika asal yang dibina daripada buluh pada 2013 sudah reput dan digantikan dengan struktur besi dua tahun kemudian, replika kapal terbang yang bertapak di tepi jalan yang menghubungkan Sik dan Baling itu terus dikunjungi pelawat sehingga kini.
Pernah menjadi mercu tanda Sik, replika berwarna merah berukuran 30 meter panjang dan tiga meter lebar dan boleh ‘memuatkan’ kira-kira 30 ‘penumpang’ pada satu-satu masa itu turut dikunjungi golongan kenamaan dan pelancong asing. Memandangkan keadaannya semakin uzur dimamah dek hujan dan panas mentari, tangga replika kapal terbang itu terpaksa ditanggalkan untuk menghalang pengunjung daripada masuk ke perutnya atas faktor keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini daripada berlaku.
Sehubungan itu, pemiliknya, pasangan suami isteri , Siti Mariam Abd Ghafar, 43 dan Baharin Isa, 46, berhasrat membaik pulih replika kapal terbang itu agar tidak terbiar dan terus dikunjungi orang ramai.
“Jika diikutkan hati, memang macam-macam yang kami rancang untuk memastikan kapal terbang ini sentiasa ada ‘penumpang’ tetapi disebabkan tiada bajet, maka ditangguh dulu,” kata Siti Mariam ketika ditemui Bernama.


Kedai cenderahati
Tentunya pasangan ini mahu membaik pulih replika itu memandangkan mereka telah menghabiskan kira-kira RM24,000 ketika menggantikan struktuk buluh kepada besi pada 2015. Mereka yang baharu saja membuka kedai menjual cenderahati bersebelahan replika itu merancang untuk menggunakan ruang dalamnya sebagai kedai berkenaan kelak, sepertimana konsep kereta api sebagai pusat jualan cenderahati yang terdapat di Bandar Hilir, Melaka.
Yakin konsep itu mampu menarik pelancong, Siti Mariam berkata, hasrat itu apabila menjadi kenyataan, mungkin bukan sahaja yang pertama di Kedah, malah di negara ini. “Ideanya seperti Pilot Café, tetapi menjual pelbagai cenderahati. Memang unik dan saya yakin, jika ‘kapal terbang’ ini diberi sentuhan terbaik dari segi susunan, dekorasi dan barangan yang akan dijual, pasti boleh menarik ramai orang,” katanya merujuk kepada filem tempatan ‘Pilot Café’ yang ditayangkan dua tahun lepas.
Menurut Baharin, sejak replika itu dibina semula menggunakan besi merah, ia tidak pernah dicat jadi mereka merancang memilih warna biru diraja dan putih bagi mengantikan warna asalnya.
Mereka yang masih mengumpulkan peruntukan sebanyak RM18,000 untuk tujuan membaik pulih replika itu berharap dapat melaksanakannya sebelum pilihan raya umum yang akan datang.
“Bukan sekadar cat tetapi bahagian dalamnya termasuk siling dan dinding perlu ditambah baik dan diletak pelapik khas agar ‘penumpang’ kami tidak akan kepanasan memandangkan ia diperbuat daripada besi,” jelas Baharin.
Ibarat pesta
Mengimbau kembali sewaktu struktur besi replika kapal terbang itu siap, Siti Mariam memberitahu bahawa suasana di situ ibarat pesta kerana sentiasa meriah dengan orang ramai yang berkunjung.
Setiap hari, ratusan malahan ribuan pelawat akan singgah untuk melihat dan bergambar sehinggakan jalan raya di depan rumahnya itu sesak teruk siang dan malam. Para pengunjung bukan sahaja datang dari Sik atau Baling, malah dari Pulau Pinang, Melaka dan sejauh Johor.
Menurut Siti Mariam, walaupun keadaannya kini nampak sedikit usang, namun replika kebanggaan penduduk Sik itu masih dikunjungi hingga hari ini terutamanya ketika musim cuti persekolahan atau musim kenduri kahwin, justeru menguatkan lagi azam mereka untuk merealisasikan hasrat menjadikan replika itu sebagai kedai cenderahati. – Bernama