DUBAI, 19 OKT – Sebuah kapal tangki gas asli cecair (LNG) berbendera Cameroon mengeluarkan isyarat kecemasan selepas letupan di atas kapal semasa berada di luar pantai Yaman, firma keselamatan maritim Britain Ambrey dan pasukan petugas tentera laut Kesatuan Eropah (EU) melaporkan kelmarin.
Kejadian itu berlaku di Teluk Aden, kira-kira 97 kilometer selatan Ahwar, di pantai selatan Yaman, menurut Ambrey.
Menurut agensi UKMTO yang dikendalikan Tentera Laut Diraja Britain, kebakaran bermula di atas kapal itu selepas terkena peluru yang tidak diketahui.
Ambrey berkata, kru telah memberi isyarat untuk meninggalkan kapal dan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Menurut Aspides, pasukan petugas EU, 24 daripada 26 kru kapal MV Falcon telah diselamatkan dan dua lagi dilaporkan hilang. Operasi menyelamat sedang dijalankan, katanya.
Ambrey berkata, kapal tangki LNG yang menuju ke Djibouti dari Sohar di Oman, tidak tergolong dalam kategori kapal yang biasanya menjadi sasaran kumpulan Huthi di kawasan itu.
Agensi berita rasmi yang dikendalikan Huthi, Saba, memetik sumber rasmi tentera sebagai menafikan terlibat dalam serangan ke atas sebuah kapal di Teluk Aden.
“Angkatan bersenjata Yaman tidak ada kaitan dengan kejadian tersebut,” kata sumber itu.
Namun begitu, laluan perkapalan utama untuk perdagangan global itu telah menjadi tempat kejadian bagi pelbagai serangan oleh kumpulan Huthi Yaman. – AFP


