Gambar AFP
QESHM, IRAN – Kapten Hassan Rostam dari Iran menelusuri Selat Hormuz selama empat dekad menaiki kapal tradisionalnya yang dikenali sebagai lenj, namun kini dia melihat dengan rasa berputus asa ketika kapal-kapal yang diperbuat daripada kayu digantikan dengan bot-bot yang lebih murah dan pantas.
Kapal yang kukuh dan dibina dengan tangan telah melintasi perairan Teluk selama berkurun-kurun, siluetnya yang berbentuk gempal melambangkan tradisi maritim serantau seperti kapal dhow di Semenanjung Arab.
“Tetapi sekarang, jumlah kapal lenj semakin berkurangan,” kata Rostam, yang menghabiskan sebahagian besar hidupnya melakukan perjalanan di laluan perairan antara Iran dan Emiriah Arab Bersatu.
Dengan tubuhnya yang kurus dan mukanya yang sudah kelihatan tua, dia memandang laut tenang yang dilintasi oleh kapal tangki besar yang membawa minyak dari negara Teluk ke pasaran dunia, dan kapal laut tentera membuat rondaan di laluan laut yang strategik.
Tetapi pulau Qeshm dekat Bandar Abbas juga merupakan rumah bagi kapal-kapal tradisional yang diperbuat daripada kayu, kira-kira 30 buah daripadanya terdampar di perkampungan Guran semasa air surut.

Pelabuhan kecil itu telah lama menempatkan limbungan kapal yang khusus dalam penyelenggaraan dan pembaikan kapal kayu. Tetapi pada pagi itu, kurang daripada dua orang penyelenggara di sana, berdiri di atas lumpur tanpa memakai sepatu.
Sebuah kapal tradisional yang separuh siap tidak dapat diselesaikan kerana kekurangan dana, dan pemiliknya merancang untuk merombaknya dan menggunakan bahagian kapal itu untuk projek lain.
“Hari ini, harga kapal kayu tradisional sangat tinggi kerana kayu didatangkan dari luar negara dan proses pembinaan dilakukan keseluruhannya menggunakan tangan,” kata Ali Pouzan, penyelia tapak Guran.
Setiap kapal tradisional sangat unik dan ukurannya berbeza, dengan cara pembinaannya ‘diajarkan dari satu generasi ke satu generasi.’
UNESCO pada 2011 mengiktiraf lenj sebagai warisan budaya tidak ketara yang ‘perlu dilindungi dengan segera.’
Ketika kapal-kapal moden menggantikan lenj, “falsafah, konteks ritual dan pengetahuan tradisional berkaitan dengan pelayaran di Teluk Farsi semakin berkurangan,” badan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran.
Semasa zaman kegemilangannya, lenj sering digunakan untuk menghantar gandum, kurma, ikan kering, rempah ratus, kayu dan tekstil merentasi seluruh Teluk hingga ke timur Afrika dan sub-benua India.
Tetapi perkapalan komersial telah mengambil alih oleh bot-bot berkuasa enjin dan diperbuat daripada gentian kaca atau keluli, melintasi perairan berwarna biru firus di mana kapal tangki minyak besar kini bergerak.
Kapal-kapal lenj juga digunakan untuk perikanan, dan penghasilan mutiara tradisional yang menguntungkan, namun kini hampir lenyak sama sekali.
Younes, penduduk Guran berusia 42 tahun, sudah memperbaiki kapal lenj di perkampungan asalnya sejak lebih 20 tahun.
“Ia tugas yang sangat menyakitkan,” katanya di bawah terik matahari, ketika dia menggunakan teknik lama dipanggil ‘kalfat koobi’ untuk menjadikan kapal kedap air dengan menggunakan pita kapas yang dicelup dengan minyak bijan dan minyak kelapa.
Menyedari pembinaan kapal yang semakin berkurangan di Guran, Pouzan sebaliknya menaruh harapan kepada pelancongan, sektor yang menjanjikan di Qeshm ketika pulau itu menarik jumlah pengunjung yang semakin bertambah.
“Kami telah membaik pulih beberapa buah bot untuk menyesuaikannya dengan perjalanan laut,” katanya.
Sebuah kapal lama telah diubahsuai untuk dijadikan sebagai kafe, dan tempat itu dirancang untuk diubah menjadi pelabuhan menarik, dengan kapal lenj yang diwarnakan terdampar di atas pasir, menjadi sebuah muzium terbuka.
Berhampiran kawasan paya di pantai, Pouzan merancang untuk membina pondok yang diinspirasikan daripada lenj untuk pelancong. Setiap pondok akan diberi nama destinasi paling terkenal yang pernah dituju oleh kapal tersebut – dari Zanzibar dan Mombasa hingga Kolkata.- AFP