Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Kapas Chad diancam perubahan iklim

    KAGTAOU – Declador Rimleldeoudje meredah ladang miliknya di antara ribuan tangkai yang diharapkannya akan mengeluarkan hasil keluaran kapas yang banyak – mengetahui bahawa masa depan komoditi berharga Chad itu tidak dapat diramalkan sama seperti hujan.

    Selama beberapa dekad, keluaran kapas telah menyokong ekonomi wilayahnya di selatan Chad. Tetapi kini tanaman berharga itu kian terancam.

    Di pintu masuk kampungnya di Kagtaou, kira-kira 60 kilometer dari Moundou, bandar utama di selatan, terdapat sebuah bekas besar penuh berisi kapas.

    CotonTchad, syarikat separa swasta yang sepatutnya membeli kapas tersebut, masih belum menunaikan janjinya dan para petani takut hasil kapas itu akan rosak disebabkan hujan yang tidak dapat diramalkan.

    “Kami suka kapas tetapi ia terlalu sukar…cuaca tidak stabil dan ia menimbulkan halangan terbesar. Ia menjejaskan hasil keluaran kapas,” jelas Rimleldeoudje, sambil melindungi matanya daripada panas terik matahari.

    Seorang petani Chad menuang kapas yang dituai ke dalam bekas sementara sebelum ia dipijak. – AFP
    Gambar AFP
    Declador Rimleldeoudje membersihkan tanah dengan parang sebelum menanam biji benih di kampung Kagtaou. – AFP
    Seorang petani Chad mengumpul kapas yang dituai untuk dijual kepada syarikat separa swasta, CotonTchad. – AFP
    Gambar AFP

    Keuntungan pemuda berusia 24 tahun itu telah merosot kepada satu pertiga daripada hasil keluaran terakhir mereka.

    Hampir semua orang di Kagtaou mencari nafkah daripada kapas berkenaan.

    Namun semakin ramai berasa kecewa disebabkan kerosakan yang dicetuskan perubahan iklim dan konflik berpanjangan antara petani dan penggembala.

    “Bukti perubahan iklim – hujan tidak menentu yang kadang-kadang menyebabkan kemarau dan ada kalanya banjir sekali-skala – membawa kepada kemerosotan besar dalam pengeluaran hasil kapas,” jelas Laohote Baohoutou, seorang pakar klimatologi di Universiti N’Djamena.

    Ia juga memburukkan lagi kon-flik yang telah lama dihadapi secara turun-temurun, katanya.

    Penggembala dari kawasan Sahel yang gersang di utara menggiring binatang ternakan mereka melalui ladang milik pekebun di selatan, atau membiarkan ternakan mereka memakan rumput di sana. Terdapat juga pertikaian mengenai siapa yang memiliki beberapa tanah.

    Sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung selama seminggu pada bulan Mac lalu. Wanita dan kanak-kanak sering menjadi mangsa konflik tersebut.

    Hujan lebat juga merupakan ancaman baharu. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengatakan banjir pada tahun 2022 telah memusnahkan lebih daripada 350,000 hektar tanaman dan membunuh 20,000 ekor ternakan di negara Afrika tengah tersebut.

    Wilayah selatan adalah kawasan yang paling teruk terjejas.

    “Ia sungguh mengecewakan,” keluh Rimleldeoudje.

    “Saya rasakan selatan tidak lagi termasuk dalam peta Chad kerana kami tidak mendapat sokongan dari segi kewangan.”

    Sejak April, Afrika telah menyaksikan banyak peristiwa iklim yang amat ekstrem.

    Manakala kawasan barat mengalami gelombang panas yang mencecah lebih daripada 48 darjah Celsius. Wilayah timur pula dilanda hujan lebat yang menyebabkan banjir teruk di Kenya dan Tanzania.

    Pernah menjadi salah satu sektor pertanian yang paling pesat berkembang di Chad, kapas telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada Keluaran Dalam Negara Kasar dan eksportnya menurun dari 2.15 peratus pada tahun 2015 kepada 0.7 peratus pada 2020, menurut angka Bank Dunia.

    Prospek komoditi berharga Chad akan mempengaruhi fikiran pengundi selatan apabila negara dengan populasi penduduk 18 juta itu mengundi presiden baharu.

    Mahamat Idriss Deby Itno, yang dilantik ketua negara oleh tentera tiga tahun lalu selepas memimpin kudeta tentera, bersaing dengan perdana menteri yang dilantiknya pada Januari sebagai lawan utamanya.

    Sesetengah percaya bahawa Succes Masra, seorang penentang tegar yang kini menjadi sekutu Deby, telah dipilih sebagai calon palsu untuk memberi gambaran salah demokrasi terhadap pilihan raya yang akan dimenangi dengan mudah oleh Deby.

    Yang lainnya mengatakan bahawa Masra, 40, yang telah menarik ramai pengikut, merupakan penentang sebenar dan boleh mendesak Deby ke pusingan kedua.

    Jean Benaudji, ketua persatuan penanam kapas di Kagtaou, merancang untuk mengundi Masra.

    “Dia satu-satunya yang boleh menyokong penanam kapas, yang telah diabaikan dan dilupakan oleh seluruh negara,” katanya.

    Masra, yang berasal dari selatan, telah menjanjikan ‘keadilan dan kesaksamaan’ yang telah menarik hati ramai penanam kapas yang menganggur, yang tidak mendapat apa-apa apabila tanaman mereka dimusnahkan oleh ternakan atau hujan.

    “Slogan beliau adalah keadilan, kesaksamaan dan keamanan. Itulah yang saya cari dan itulah sebabnya dia akan mendapat undi saya,” kata Rimleldeoudje. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...