Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapasiti 60 peratus bagi PKWE, kolam renang

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) dan kolam-kolam renang bermula 27 Julai ini dibenarkan beroperasi pada kapasiti 60 peratus dalam satu-satu masa tertakluk kepada ruang kedua-duanya.

    Bagi PKWE, syarat pengunjungnya masih sama iaitu warga emas berisiko rendah dan sederhana dan pelonggaran tahap kedua ini, aktiviti dalaman dan luaran dibenarkan.

    Manakala kolam renang dibenarkan kepada individu berusia 12 tahun ke atas, dihadkan kepada 2 jam sehari dan dibukakan lima hari dalam satu minggu.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pada pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

    Menurutnya lagi, kolam-kolam renang di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan dibukakan pada Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad, manakala operasi kolam lain tertakluk kepada pemilik masing-masing.

    Dengan perubahan itu, beliau mengulangi peringatan untuk mengamalkan garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan terutamanya bertanggungjawab dalam mengamalkan penjarakan sosial, kebersihan diri dan persekitaran serta pemeriksaan suhu badan, pensanitasi tangan, penggunaan aplikasi BruHealth dan individu yang kurang sihat tidak dibenarkan masuk.

    Bagi maklumat lanjut mengenai pusat-pusat ini, KKBS dengan kerjasama Kementerian Kesihatan telah menyediakan garis panduan terperinci yang boleh disemak di laman web www.kkbs.gov.bn.

    Kolam-kolam renang akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 60 peratus dalam satu-satu masa bermula 27 Julai ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda