Sunday, December 29, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapit raikan 100 tahun keamanan

    KUCHING, 27 DIS – Kapit, sebuah pekan di bahagian tengah Sarawak, baru-baru ini meraikan ulang tahun ke-100 upacara perjanjian perdamaian bersejarah yang berlaku pada 1924, dengan pelbagai acara diadakan pada 1 hingga 8 Disember lepas.

    Upacara itu, yang menamatkan peperangan dan perpecahan etnik selama bertahun-tahun telah membuka jalan kepada keamanan dan perpaduan yang berkekalan di rantau ini dan acara peringatan itu turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Yayasan Tun Jugah dalam kenyataannya menekankan tentang zaman pergolakan sebelum pentadbiran keluarga Brooke, dengan menyatakan bahawa konflik sering timbul kerana kepercayaan rohani, status sosial, pertikaian wilayah dan sumber. Permusuhan yang wujud antara dan dalam kalangan kumpulan etnik, memburukkan lagi pergolakan itu.

    Di bawah pemerintahan James Brooke yang bermula pada 1841, taktik pendamaian diperkenalkan untuk meredakan pemberontakan dan gerakan penentangan. Usaha ini termasuk upacara perdamaian simbolik melibatkan pertukaran barang berharga dan tindakan perdamaian, seperti penyembelihan khinzir.

    “Pentadbiran keluarga Brooke menghadapi tentangan serius daripada pemimpin tempatan yang berjuang dengan keberanian dan ketabahan, demi mempertahankan tradisi dan autonomi mereka,” menurut kenyataan itu.

    Gambar Bernama

    Keluarga Brooke juga melaksanakan ekspedisi punitif untuk memulihkan keadaan, termasuk ekspedisi Katibas, Ulu Ai dan Kayan. Usaha penting, seperti ekspedisi Kayan melibatkan lebih 15,000 pejuang menggunakan 500 perahu panjang. Misi ini menjadi asas kepada upacara perdamaian di Kapit.

    Upacara perdamaian penting pada 16 November 1924, menandakan tamatnya konflik antara komuniti Iban, Kayan, Kenyah dan Kajang.

    Sementara itu, Nanta yang juga Pengerusi Yayasan Tun Jugah menyifatkan perjanjian perdamaian itu sebagai mercu tanda bagi kemajuan masa depan di rantau ini.

    Abang Johari berkata perjanjian perdamaian itu berperanan dalam memupuk perpaduan dalam kalangan komuniti pelbagai budaya di Sarawak. Beliau berkata pembangunan Kapit, termasuk rancangan untuk membina sebuah dataran moden, melambangkan kemajuan rantau ini yang berakar umbi daripada perjanjian bersejarah itu.

    “Perjanjian ini memupuk persahabatan dan kerjasama antara rakyat Sarawak, membolehkan kita bekerjasama untuk kebaikan generasi akan datang,” kata Abang Johari.

    Pada 6 dan 7 Dis lepas, berlangsungnya Seminar Antarabangsa mengenai Perayaan Keamanan yang membincangkan kesan perjanjian perdamaian 1924 itu terhadap hubungan komuniti, pembangunan dan sejarah bersama. Peserta mengimbas kembali kejayaan lalu dan pengajaran untuk menangani cabaran moden.

    Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang pula menyeru usaha diperbaharui untuk menegakkan nilai keterangkuman, perpaduan dan kepelbagaian, mencerminkan semangat Segulai Sejalai yang dihayati masyarakat Orang Ulu.

    Ketika Kapit memasuki abad kedua, warisan perjanjian perdamaian 1924 terus menjadi panduan perjalanan masa depan bandar itu.

    Sambutan ulang tahun upacara berkenaan menjadi peringatan utama tentang kepentingan keamanan, perpaduan dan kerjasama.

    Yayasan Tun Jugah menegaskan komitmen untuk memastikan nilai ini kekal menjadi teras kepada masa depan Sarawak, membentuk rantau ini untuk generasi seterusnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda