LONDON, 30 MEI – Kapten kapal Rusia yang melanggar sebuah kapal tangki minyak di Laut Utara akan membuat pengakuan hari ini di mahkamah United Kingdom selepas dituduh menyebabkan kematian kru kapal.
Vladimir Motin, 59, dijadual hadir untuk perbicaraan di mahkamah jenayah Old Bailey London atas tuduhan membunuh kerana cuai.
Kapal kontenanya, Solong, yang berbendera Portugal, merempuh Stena Immaculate yang sarat dengan bahan api pesawat pada pagi 10 Mac lalu, menyebabkan kedua-dua kapal itu terbakar dan mendorong operasi menyelamat secara besar-besaran di luar pantai.
Kapal tangki berbendera Amerika Syarikat (AS), yang telah disewa oleh tentera AS, berlabuh 21 kilometer dari pelabuhan Hull, timur laut England, semasa nahas berkenaan.
Seorang kru kapal Solong, warga Filipina iaitu Mark Angelo Pernia, maut dalam perlanggaran itu, yang mana ia turut mencetuskan kebimbangan terhadap kerosakan ekologi selepas tangki yang mengandungi bahan api itu pecah.
Pelet plastik dari kapal kontena itu juga ditemui terapung di laut pada hari-hari berikutnya.
Motin, dari Primorsky, St Petersburg, muncul melalui pautan video dari penjara di Hull dalam perbicaraan terakhir pada April, apabila hakim menangguh perbicaraan tersebut disebabkan kekurangan jurubahasa Rusia. – AFP
