PERANCIS, 10 JAN – Kapten Perancis, Hugo Lloris mengumumkan persaraannya daripada bola sepak antarabangsa pada usia 36 tahun, tiga minggu selepas negaranya tewas pada perlawanan akhir Piala Dunia menerusi penentuan sepakan penalti kepada Argentina di Doha.
“Saya telah memutuskan untuk menamatkan kerjaya antarabangsa saya, dengan perasaan bahawa saya telah memberikan segala-galanya,” kata penjaga gol Tottenham Hotspur Lloris dalam temu bual dengan akhbar harian sukan Perancis L’Equipe yang diterbitkan kelmarin.
“Saya fikir adalah penting untuk mengumumkan perkara ini sekarang, dua setengah bulan sebelum permulaan kelayakan Euro.”
Lloris, yang membuat penampilan sulung antarabangsanya sebagai pemain berusia 21 tahun dalam perlawanan persahabatan menentang Uruguay pada November 2008, berundur diri selepas menjadi pemain Perancis yang paling banyak beraksi semasa Piala Dunia. Dia mengatasi rekod pemegang rekod sebelumnya, Lilian Thuram.
“Saya benar-benar memikirkannya sejak berakhirnya Piala Dunia, tetapi saya sudah merasakannya dalam tempoh enam bulan kebelakangan sehingga masa pertandingan tersebut yang mendorong saya membuat keputusan ini,” kata Lloris.
Dia pernah mengetuai Perancis untuk memenangi Piala Dunia 2018 di Rusia. – AFP
