BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Seorang pegawai pergigian dari Khidmat Pergigian, Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidupnya yang baharu dan melafazkan Dua Kalimah Syahadah pada majlis yang diadakan di kediaman keluarganya di Jalan Selayun Jerudong, Kampung Sengkurong B.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyaksikan pengislaman Kapten Dr Syazirah binti Kuan ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir ialah pemerintah-pemerintah angkatan tentera, pegawai Daerah Brunei dan Muara, pengarah Pusat Dakwah Islamiah (PDI), pegawai-pegawai ABDB dan PDI, serta ahli keluarga.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, diikuti dengan lafaz syahadah oleh Kapten Dr Syazirah, yang dipimpin oleh pegawai dari PDI.
Kemudian, majlis diserikan dengan laungan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai dan penyampaian cenderahati oleh tetamu kehormat serta jemputan yang hadir.
Kapten Dr Syazirah merupakan anggota ABDB yang pertama memeluk agama Islam bagi tahun ini dan yang ke-127 sejak 2006.
