Pelakon Fezrul Khan menyifatkan karakter ala-ala lelaki lembut, Ratu Lebah dan She seperti yang dipaparkan di aplikasi TikTok tidak bermaksud sengaja mencetuskan kontroversi.
Sebaliknya, Fezrul berkata, dua watak itu hanyalah sekadar hiburan buat pengikut media sosial.
“Nama Ratu Lebah wujud sebab saya jual madu dari Yaman. Saya memang amalkan makan madu selepas tak ambil gula.
“Nama She pula memang ramai yang pertikaian. Nama watak ini sebenarnya Sushi, tapi saya pendekkan dan ubah ejaan menjadi She.
“Lagipun dalam kalangan rakan kawan artis, memang selalu gunakan ganti nama diri She. Tak ada niat apa pun.

“Di luar saya tetap macam biasa. Karakter ini hanyalah sekadar pesona dan hiburan pengikut media sosial sahaja,” katanya.
Menurut BH Online, kehadiran Fezrul bagi mempromosikan drama Dari Rahim Yang Sama yang bakal menemui penonton di slot Samarinda di TV3 pada Aidilfitri bermula 14 April depan.
Selain Fezrul, drama itu turut dibintangi Nabila Huda, Mhia Firdaus, Ashraf Muslim, Angeline Tan, Ameerul Ashraf dan ramai lagi.
Fezrul atau nama sebenarnya, Fezrul Khan Junaidi Khan, 43, mengakui menerima kecaman warganet yang tidak suka dengan karakter yang ditampilkan itu.
“Memang ramai kecam saya. Sampai tahap report akaun saya pun ada, tapi saya lebih selesa mendiamkan diri. Saya pun baru sahaja menggunakan media sosial.
“Biasalah, ada yang suka dan sebaliknya. Bukan senang nak jaga hati semua orang kan?,” ujarnya. – Agensi