EILAT – Terumbu karang yang menakjubkan di Laut Merah berdepan ancaman baharu, ahli biologi marin memberi amaran, iaitu kematian besar-besaran landak laut yang mungkin disebabkan oleh penyakit misteri.
Disebabkan makhluk berduri panjang itu memakan alga yang boleh melemaskan karang, kematian mereka boleh ‘memusnahkan keseluruhan ekosistem terumbu karang kita’, kata saintis Lisa-Maria Schmidt.
Di pusat peranginan Laut Merah Palestin di Eilat, yang bersempadan dengan Jordan dan Mesir, Schmidt terkenangkan saat dia dan rakan-rakannya mula-mula menyaksikan kemerosotan populasi itu.
“Apabila kami terjun ke dalam air, tiba-tiba semua spesimen yang biasa kami lihat sebelum ini hilang, dan apa yang kami lihat ialah rangka dan timbunan duri,” beritahunya kepada AFP.
Pasukan itu mula-mula mendengar laporan pada bulan Januari bahawa spesies landak laut di Eilat sedang mati dengan cepat, jadi mereka pergi ke tapak yang terkenal dengan pelbagai spesies Diadema setosum.
Mereka mula-mula menyangka bahawa pencemaran tempatan bertanggungjawab atas kematian itu.
Namun dalam masa dua minggu, haiwan invertebrat berduri itu juga mula mati di pantai, termasuk di kemudahan air laut Institut Antara Universiti untuk Sains Marin.
Bertungkus-lumus mencari puncanya, para saintis menyaksikan dengan cemas ketika kematian besar-besaran itu merebak ke selatan melalui Laut Merah.
Pasukan itu mendapati ia menjejaskan dua jenis landak laut, Diadema setosum dan Echinothrix calamaris, manakala spesies lain dalam persekitaran yang sama kekal tidak terkesan.
Di pusat marin di luar Eilat, ikan berwarna-warni dan beberapa spesies landak laut lain dapat dilihat oleh wartawan AFP.
Semasa mensnorkel, Schmidt mengutip sampah plastik terapung dan menyimpannya di atas lengan baju selamnya, untuk dibuang kemudian.
Berjalan di sepanjang pantai, dia juga mengambil segenggam alga, untuk memberi makan kepada landak laut yang masih hidup di dalam tangki.
Musnah sepenuhnya
Kematian besar-besaran sama yang melanda landak laut sebelum ini di Caribbean, menimbulkan spekulasi bahawa penyakit itu mungkin telah tiba di Laut Merah menerusi kapal, yang air balastnya boleh membawa patogen dan spesies eksotik.
“Saya rasa ia amat menakutkan bagi rantau itu, terutamanya di Laut Merah,” kata Mya Breitbart, ahli biologi dari Universiti South Florida di Amerika Syarikat.
Beliau menegaskan bahawa, sementara terumbu karang mati di banyak kawasan lain, “Karang itu diketahui agak berdaya tahan, dan saya fikir orang ramai telah meletakkan banyak harapan kepada terumbu tersebut”.
Awal tahun lepas, Breitbart mula mendengar bahawa spesies Diadema antillarum – serupa dengan yang terjejas di Laut Merah – berubah tingkah laku dengan pantas dan kemudian mati secara besar-besaran di Caribbean.
Kawasan itu masih belum pulih daripada kejadian serupa pada 1980an, yang puncanya tidak pernah ditemui, dan Breitbart menyifatkan kematian kedua di sana sebagai ‘benar-benar memusnahkan’.
Dalam beberapa bulan, dia dan saintis yang bekerja di seluruh Caribbean telah mengenal pasti sejenis patogen, sekali gus memberikan harapan bahawa punca kematian Laut Merah telah ditemui.
‘Penyakit seterusnya bakal muncul’
Omri Bronstein, dari Universiti Tel Aviv, telah bekerjasama dengan pasukan di Eilat dan tempat lain untuk mencuba dan mengenal pasti sumbernya.
“Adakah kita bercakap tentang patogen yang sama, sebagai contoh, seperti yang melanda Caribbean pada tahun 1980an?”, tanya Bronstein, yang menjalankan makmal di universiti di mana landak laut terletak di dalam balang kaca.
“Atau adakah kita melihat senario yang sama sekali berbeza?”
Menghentikan kematian di laut adalah mustahil, keluh Bronstein.
Sebaliknya, komuniti saintifik sedang berusaha ke arah mewujudkan populasi stok induk spesies terjejas yang boleh dilepaskan ke Laut Merah sebaik sahaja ancaman semasa berakhir.
Setelah puncanya dikenal pasti, Bronstein dan rakan-rakannya juga akan berusaha untuk menentukan bagaimana ia sampai ke Laut Merah.
Jika ia dibawa melalui kapal, sebagai contoh, langkah boleh diambil untuk membersihkan kapal dan meminimumkan risiko penyebaran patogen seterusnya.
“Ini adalah sesuatu yang boleh kita perbaiki, kerana penyakit seterusnya bakal muncul,” katanya.
“Ia mungkin berada di satu pelabuhan dan di salah satu kapal yang sedang melayari lautan kita.” – AFP