Superstar realiti televisyen, Keeping Up With The Kardashians, Kim Kardashian, 40, berkemungkinan tidak meneruskan perceraian dan bersedia kembali ke pangkuan suaminya yang juga penyanyi Hip Hop tersohor, Kanye West, 43.
Memetik laporan portal hiburan, gaya hidup dan budaya pop gergasi dunia, E! News, sumber mendedahkan, bukan sahaja tiada perkembangan terbaharu mengenai berita perceraian sejak Kardashian memfailkan di Mahkamah Tinggi Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Februari lalu. Malah, sumber E! News melaporkan, hubungan Kardashian dan West masih baik dan saling mengambil berat antara satu sama lain.
“Kardashian tidak terburu-buru mahu meneruskan perceraiannya. Hingga hari ini, hubungan Kardashian dan West masih baik,” kata sumber berkenaan. Meskipun tidak tinggal sebumbung, namun Kardashian dan West masih keluar bersama termasuk bercuti ke San Francisco, AS bersama empat cahaya mata, selain berdua-duaan menikmati makan tengah hari di Malibu kira-kira dua minggu lalu.
Mengukuhkan kenyataan perasaan cinta masih wujud apabila Kardashian bersetuju membuat penampilan istimewa pada majlis pra-dengar album terbaharu West berjudul Donda, baru-baru ini.
Sementara itu, sumber dalaman memberitahu portal E! News mengenai hasrat West menyelamatkan rumah tangganya daripada hancur berkecai. – Agensi
