Oleh Hajib Sarhan –
Resipi Kari Ayam Ros atau lebih dikenali sebagai Kari Kapitan ini adalah versi olahan yang diinspirasikan dari hidangan terkenal di sebuah restoran Nasi Kandar di Pulau Pinang, yang telah beroperasi lebih 130 tahun. Resipi ini menggunakan campuran rempah kering dan segar buatan sendiri yang kaya dengan rasa dan aroma sesuai dihidangkan untuk majlis istimewa seperti Hari Raya.
CARA PENYEDIAAN:
Untuk menyediakan Kari Ayam Ros, mula-mula perap ayam dengan garam dan serbuk kunyit, kemudian panaskan minyak sayur dalam periuk dan goreng ayam sehingga keemasan sebelum diketepikan. Seterusnya, sediakan campuran rempah kisar dengan cara sangai kas-kas, biji ketumbar, jintan putih, biji adas dan biji lada hitam di dalam kuali tidak melekat atas api sederhana selama 2 hingga 3 minit sambil dikacau supaya tidak hangus, kemudian biarkan sejuk dan kisar halus hingga menjadi serbuk.
Bagi menyediakan bahan kisar atau pes rempah, kisar cili kering yang telah direndam dengan sedikit air sehingga halus dan ketepikan, kemudian kisar bawang besar, bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit hidup, buah keras dan cili hijau bersama sedikit air sehingga menjadi pes yang halus. Setelah semua bahan siap, panaskan ghee dalam kuali besar di atas api sederhana, tumis bunga lawang, cengkih, buah pelaga dan kulit kayu manis sehingga naik bau, kemudian masukkan pes cili dan tumis sehingga wangi diikuti pes rempah kisar dan teruskan menumis hingga minyak terasing dari pes, kemudian masukkan serbuk rempah kisar dan teruskan menumis sehingga rempah masak dan harum, tambah sedikit air sekiranya pes kelihatan kering untuk mengelakkan hangit.
Selepas itu, masukkan tomato dalam tin yang telah dikisar, ayam goreng dan santan, biarkan mendidih selama 20 hingga 25 minit, perasakan dengan garam dan madu secukup rasa untuk mengimbangi rasa kari. Akhir sekali, masukkan cili hijau dan matikan api. Kari Ayam Ros ini enak dihidangkan bersama nasi berperisa, raita, chutney dan ditaburkan dengan daun ketumbar serta hirisan cili merah sebelum dihidangkan.
BAHAN-BAHAN:
Untuk 10 Orang Makan
Ayam Goreng:
• 2 ekor ayam kampung, dipotong 4 bahagian dan dibuang kulit
• 1 sudu kecil serbuk kunyit
• Garam laut secukup rasa
• Minyak sayur untuk menggoreng
Campuran Rempah Kisar:
• 2 sudu besar kas-kas (biji popi)
• 3 sudu besar biji ketumbar
• 3 sudu besar biji jintan putih
• 2 sudu besar biji adas
• 2 sudu besar biji lada hitam
Bahan Kisar (Pes):
• 2 genggam cili kering — direbus dan dikisar (asing)
• 1 biji bawang besar (dikisar)
• 10 ulas bawang merah (dikisar)
• 8 ulas bawang putih (dikisar)
• 2 inci halia (dikisar)
• 2 inci lengkuas (dikisar)
• 2 inci kunyit hidup (dikisar)
• 8 biji buah keras (dikisar)
• 2 biji cili hijau (dikisar)
Bahan-Bahan Lain:
• 5 sudu besar ghee
• 4 kuntum bunga lawang
• 6 biji buah pelaga
• 6 kuntum cengkih
• 3 batang kulit kayu manis
• 3 batang serai (dititik)
• 2 tin tomato dalam tin (dikisar)
• 2 cawan santan
• 4 sudu besar madu asli
• Garam secukup rasa
• Minyak sayur secukupnya
• Air secukupnya
Hiasan & Pelengkap:
• Daun ketumbar segar (dicincang)
• 2-3 biji cili hijau (dihiris)
• 2-3 biji cili merah (dihiris memanjang)