KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Skuad bola sepak Kuala Lumpur (KL) City FC berkemungkinan terpaksa ‘tutup kedai’ sekiranya isu tunggakan gaji pemain tidak menemui jalan noktah, kata bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad.
Beliau berkata isu tersebut jika tidak ditangani bakal bertambah buruk buat KL City apabila terpaksa kehilangan satu persatu pemain tonggak utama kelab itu yang tidak tahan dengan situasi sedang melanda.
“Situasi ‘tutup kedai’ itu mungkin berlaku kalau kita tidak tangani perkara ini. Kesian kepada pemain-pemain ini kerana bermain tanpa gaji.
“Pemain pun hilang semangat bahkan sebelum ini saya hilang Bojan Hodak (bekas ketua jurulatih), Kevin Mendoza, Romel Morales serta Akram Mahinan.
“Jika perkara ini berterusan, lambat-laun KL City tiada pemain. Kalau Paulo Josue (pemain penyerang) dah mula mengeluh, apatah lagi yang lain yang masih bersabar,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Josue yang baru-baru ini kembali bersuara mengenai masalah tunggakan gaji tujuh bulan dialaminya.
Khalid yang meletak jawatan selaku Presiden KLFA pada Mac lepas mendedahkan permainan politik di dalam pengurusan kelab itu turut membuatkan dia terpaksa mengorbankan jawatan demi melihat pasukan pernah berada di bawah naungannya itu meraih keadilan.
“Seperti sedia maklum, pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat penukaran jadual Liga Malaysia musim ini, maka tiga bulan terawal, tiada perlawanan atau latihan.
“Keadaan ini mencabar dan merumitkan keadaan bagi membayar gaji para pemain yang tertunggak pada tiga bulan terakhir tahun lalu dan kita telah mendapat amaran daripada MFL,” katanya. – Bernama


