Tidak selamanya berada di puncak, Mamak Puteh sedar kariernya sebagai pelawak mula menunjukkan penurunan ketara.
Mamak atau Mohamad Ikhtiarudin Naina Mohamad, 41, berkata, dia akur sekarang adalah zaman pempengaruh yang lebih digemari masyarakat.
“Terus terang karier sebagai seorang pelawak semakin menurun, bagaikan roda berputar, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Sekarang zaman pempengaruh, jadi saya sendiri terpaksa mengikut perubahan itu dengan bermain TikTok,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Mamak memberitahu dia aktif di TikTok bukan sekadar mahu mengumpul peminat baharu.
Sebaliknya ia secara tidak langsung dapat menambah pendapatannya dengan membuat video reviu makanan.
“Ada juga buat duit melalui TikTok macam buat reviu makanan tapi tak kerap.
“Sebab saya suka menjual secara langsung macam kedai makan yang saya buka sekarang.
“Saya suka jumpa orang dan lihat mereka puas hati dengan apa yang dihidangkan saya pun rasa seronok,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Mamak bersyukur perniagaan makanan diusahakan bersama isteri mendapat sambutan memberangsangkan.
“Alhamdulillah perniagaan makanan saya okay, saya memang suka meniaga. Saya sebenarnya mula minat meniaga sebab isteri yang beri cadangan. Cuma saya ni lebih kepada bahagian penghantaran dan pemasaran,” ujarnya. – Agensi