Pelakon dan pengacara yang kini bergelar pereka fesyen, Karl Shafek tidak pernah terdetik mahu bersara, biarpun kini sibuk membangunkan jenama pakaiannya.
Kesibukan Shafek atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim di pentas peragaan seolah-olah memberi isyarat seperti mahu meninggalkan dunia seni.
Shafek berkata, dia hanya beritahu mahu berehat, namun, tak menyangka berlaku penularan pandemik COVID-19 pada 2020.
“Disebabkan itu, saya hanya mendiamkan diri dan tumpu pada jenama pakaian.
“Sejujurnya, saya masih rindu dan sayangkan kerjaya dalam bidang seni. Saya juga tidak pernah umumkan saya mahu bersara.
“Namun, tidak mustahil ada yang menyangka saya sudah tidak minat berlakon kerana jarang menerima tawaran lakonan. Insya-Allah, saya merancang aktif semula, tahun depan.

“Lagipun, pasukan jenama fesyen sudah semakin besar, faham cara kerja dan hala tuju syarikat. Jadi, bolehlah saya cuti lama untuk kembali aktif,” katanya kepada wartawan.
Mengulas status berbentuk luahan perasaan dalam laman Facebook terhadap seorang usahawan berpangkat Datuk yang sering mencetuskan kontroversi, Shafek mendedahkan sikap usahawan itu yang cuba mengambil kesempatan mencari publisiti murahan apabila menawarkan diri untuk menjadi salah seorang wajah ilham (muse) untuk pertunjukan fesyen di bawah jenama miliknya.
Katanya, lebih membuatkan ‘naik hantu’ adalah apabila usahawan itu didakwa meminta bayaran untuk penampilannya, walaupun hakikatnya, menawarkan diri untuk beraksi di pentas peragaan.
“Ia sangat mengejutkan kerana beberapa tahun lalu, kami pernah berbincang untuk berkolaborasi, namun, selepas menyerahkan kertas kerja, tiada maklum balas diterima.
“Apabila usahawan berkenaan mendiamkan diri, saya sangka tidak berminat dan lantas saya mencari penaja lain yang disifatkan lebih berbaloi. Jejaka kelahiran Pekan, Pahang itu berkata, dia sudah tawar hati mahu bekerjasama dengan usahawan berkenan sejak insiden mendiamkan diri.” – Agensi