Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karl Shafek bergelut gangguan mental

    Luaran pengacara dan pelakon, Karl Shafek nampak seperti insan biasa yang melalui fasa turun naik dalam kehidupan.

    Biarpun nampak sempurna, namun, jejaka kelahiran Pekan, Pahang itu sedang bergelut dengan masalah gangguan mental hingga menyebabkan kecelaruan emosi dan kemurungan.

    Malah, pada satu tahap, Karl atau nama sebenarnya, Khairul Shafek Ibrahim hampir melakukan tindakan yang boleh meragut nyawa akibat terbeban dengan emosi yang menghantuinya.

    “Saya pernah ke stesen minyak untuk beli petrol dengan tujuan membakar diri. Ketika itu, saya memandu kereta seperti tiada arah tuju.

    “Saya akui memang banyak kali terbit perasaan untuk menamatkan riwayat hidup dan gagal mengawal perasaan. Segala-galanya berlaku di luar kewarasan fikiran.

    Karl Shafek hampir melakukan tindakan yang boleh meragut nyawa akibat terbeban dengan emosi yang menghantuinya. – Agensi

    “Paling teruk, saya alami masalah insomnia sehinggakan saya pernah tidak tidur selama seminggu,” katanya kepada media.

    Kini, Karl berkata, dia cuba menjadi kuat selepas dua tahun bergelut dengan masalah gangguan mental.

    “Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya semakin pulih. Saya masih melakukan rawatan dan bergantung dengan ubat yang diberikan doktor, setiap hari.

    “Kesan makan ubat tetap ada. Tindak tanduk saya menjadi perlahan, sedangkan saya yang perlu sentiasa kreatif dan kena cepat berfikir.

    “Mungkin keadaan ini agak mencabar, tetapi saya harus mengharunginya untuk memulihkan masalah gangguan mental.

    “Saya masih meneruskan rawatan kaunseling yang ditetapkan hospital. Saya harus jumpa doktor sekali sebulan. Dalam masa yang sama, saya ada buat rawatan tradisional,” katanya.

    Terdahulu, Karl terbabit dengan pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2021, baru-baru ini dengan jenama Neonate dengan koleksi baharu diberi nama Noir.

    Koleksi ilham Karl itu dipersembahkan barisan muse pilihan termasuk Nam Ron, Abdul Latif Romly, Sabronzo (Dolla), Sissy Imann, Yonnyboii, jurusolek popular, Bosco dan Aidil Maula.

    Kelibat Nam Ron mencuri tumpuan ramai kerana kali pertama ‘catwalk’ di pentas fesyen. Karl berkata, Nam Ron tidak menjawab mesej pada kali pertama dihantar kepadanya. “Keesokannya, saya terus menghubunginya menawarkan peluang ‘catwalk’ ini.

    “Secara kebetulan, kami duduk berjiran di kawasan yang sama, jadi lebih mudah untuk berurusan. Awalnya, Nam Ron terperanjat dengan peluang ini. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda