Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Bagi meraikan 90 tahun penubuhan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Karnival 90 (K90) sempena 90 tahun Pergerakan Pengakap di Brunei Darussalam telah diadakan di Dewan Serba guna, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, hari ini.
Majlis juga diselajurkan dengan pelancaran logo K90 oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, selaku tetamu kehormat majlis.
Antara lain objektif K90 adalah untuk meningkatkan kehadiran PPNBD di Brunei Darussalam selain untuk memberigakan kegiatannya kepada orang ramai.
Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas dalam ucapan alu-aluannya antara lain mengongsikan, pada Ogos tahun ini PPNBD akan menghantar lebih 20 orang ahli untuk menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-25 di Saemangeum, Republik Korea.
Selain itu beliau turut mengongsikan pencapaian pergerakan pengakap sejak 1976 diterima menjadi Ahli Bersekutu dalam Pengakap Rantau Asia Pasifik (APR).
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P5-2Pengakap-4_30012023-1.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P5-2Pengakap-9-WEB_30012023.jpg)
Pada majlis itu, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut menyerahkan poster K90 kepada jabatan-jabatan yang terlibat sambutan berkenaan yang antaranya Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (Unissa).
Selain itu, poster juga akan disampaikan kepada persatuan-persatuan pengakap daerah.
Karnival diisikan dengan pameran poster yang mengandungi kegiatan-kegiatan pengakap, gambar-gambar ristaan, pakaian seragam, lencana-lencana pengakap dan lainnya.
Perasmian karnival tersebut turut menyaksikan pelancaran logo kontinjen yang akan menyertai Jambori Pengakap Sedunia ke-25 oleh tetamu kehormat majlis.
Majlis pelancaran Karnival berkenaan merupakan acara kedua sempena 90 tahun pergerakan pengakap pada tahun ini yang mana sebelumnya pada 1 Januari lalu telah diadakan majlis Doa Kesyukuran.
Pelbagai program juga telah dirancang sepanjang tahun ini bagi memeriahkan
K90 yang mana acara kemuncak 90 Tahun Pergerakan Pengakap adalah Jambori Nasional ke-5 yang akan dianjurkan pada Disember depan.