Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Datastream Digital Sdn Bhd (DST) membawa kembali Karnival Akhir Tahun DST, iaitu sebuah acara komuniti utama yang menawarkan promosi baharu, tawaran gaya hidup digital, aktiviti mesra keluarga dan hiburan menarik untuk para pelanggan di seluruh Brunei.
Perasmian karnival yang berlangsung sehingga 23 November itu telah dirasmikan oleh Pengerusi DST, Awang Haji Sofian bin Haji Md Jani di Times Square Mall, hari ini.
Karnival tersebut adalah sebagai komitmen berterusan DST dalam memberikan nilai, kemudahan dan pengalaman yang mengujakan kepada orang ramai.

Terdahulu perasmian karnival itu, Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri Radin Basiuni dalam ucapan alu-aluan antara lain menggariskan, karnival ini bukan sekadar sebuah acara tetapi ia merupakan kemuncak kepada setahun penuh pencapaian, inovasi dan kerjasama yang semuanya dapat direalisasikan melalui usaha kolektif pasukan kami, rakan kongsi serta para pelanggan.
Beliau seterusnya menambah, “salah satu elemen penting yang menjadikan karnival ini benar-benar istimewa ialah kerjasama kami dengan rakan niaga”.
“Ini menandakan model kerjasama yang pertama bagi DST, di mana kami mengaktifkan keseluruhan ruang komersial, menyokong para peniaga secara langsung, dan memberikan pelanggan pengalaman yang benar-benar menyeluruh,” jelasnya.

Karnival ini menampilkan pakej-pakej baharu, ganjaran pelanggan yang dipertingkatkan, peluang penglibatan peniaga serta aktiviti kreatif yang direka untuk mengukuhkan ekosistem digital DST.
Sebagai sebahagian daripada Karnival Akhir Tahun, DST telah memperkenalkan beberapa tawaran baharu yang direka untuk memberikan pelanggan nilai, fleksibiliti dan kemudahan yang lebih besar.
Ini termasuk pelancaran Pelan Sewa Peranti, yang membolehkan pelanggan menikmati peranti Oppo terkini tanpa bayaran pendahuluan dan dengan yuran bulanan yang mudah.
Di samping itu, DST juga memperkenalkan Pelan Berpakej Mobi + Infinity yang baharu, yang menggabungkan perkhidmatan mudah alih dan sambungan rumah dalam satu pakej yang berpatutan.


Kesemua ini menekankan komitmen DST untuk menyediakan penyelesaian berorientasikan pelanggan yang menjadikan teknologi lebih mudah diakses, lebih fleksibel dan lebih mudah dinikmati oleh semua segmen masyarakat.
Selain tawaran DST, para pengunjung boleh menikmati pelbagai promosi eksklusif daripada rakan niaga DST, daripada kopi istimewa dan minuman ‘matcha’ hinggalah kepada tawaran hebat bagi barangan elektronik dan peralatan rumah.
Pengunjung karnival juga berpeluang menantikan tawaran menarik seperti cerek berharga $0.10 dan pendingin hawa bernilai $99, di samping pelbagai pilihan makanan dan tawaran gaya hidup.
Banyak tawaran ini boleh didapati apabila membayar menggunakan MyDST Scan to Pay, menjadikan karnival bukan sahaja destinasi untuk promosi sambungan hebat, tetapi juga sebuah pasar yang meriah dengan pelbagai juadah, hidangan serta tawaran hebat yang sukar ditandingi.


