Oleh Daniel Lim
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bukit Sawat dengan kerjasama MPK Kampung Merangking dan Pejabat Daerah Belait telah menganjurkan Karnival Bukit Sawat tahunan 2019 selama empat hari untuk penduduk Daerah Belait sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73 yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Sungai Mau.
Pelbagai acara telah diadakan sepanjang empat hari termasuk pertandingan Da’ie, menghafal Surah Al-Quran, pertandingan memasak secara langsung, pertandingan mewarna, aktiviti sukan dan permainan Bingo, cabutan bertuah pertandingan menghias basikal dan perarakan pesta.
Karnival itu telah dirasmikan oleh tetamu kehormat, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput, selaku ketua Kampung Labi I. Selain menyaksikan pelbagai aktiviti yang dianjurkan, beliau dan ahli jawatankuasa daripada MPK Bukit Sawat juga mengunjungi gerai-gerai yang didirikan dan beramah mesra dengan penjaga gerai untuk mengenali lebih dekat produk-produk yang dipamerkan termasuk makanan, minuman dan barang perhiasan yang dibuat daripada loyang.
Salah seorang ahli jawatankuasa MPK Kampung Bukit Sawat, Awang Irwan Rino bin Nordin menjelaskan bahawa karnival merupakan acara tahunan terbesar yang pernah diadakan untuk mereka yang menetap di kawasan sekitarnya.
Beliau berkata di samping pelbagai aktiviti yang dianjurkan ketika karnival, banyak gerai juga didirikan di sekitar tapak untuk memaparkan produk-produk daripada komuniti Mukim Bukit Sawat, selain gerai-gerai dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong dengan tujuan memeriahkan lagi suasana sambutan ketika karnival.
Menurutnya lagi, selain daripada aktiviti yang diadakan, Pesta Sungai juga akan diadakan pada 17 dan 18 Ogos yang bukan sahaja termasuk perlumbaan bot bermotor dan berkayuh, tetapi juga aktiviti sukan air seperti tarik kalat menggunakan bot, untuk memaparkan keunikan mukim tersebut.
Karnival diakhiri dengan aktiviti bermain futsal, sepak takraw, dart dan tarik kalat di samping Pertandingan Orang Kuat Bukit Sawat dan pertandingan Kraf Tangan dan Hasil Keluaran Hutan.

