Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Karnival DST yang berlangsung selama tiga hari di Dewan BRIDEX, Jerudong, berakhir meriah hari ini dengan penyampaian hadiah bagi aktiviti yang diadakan.
Antara aktiviti utama yang dianjurkan semasa karnival berkenaan adalah Piala Karnival DST: Kejohanan E-Sukan di mana lima permainan video dipertandingkan iaitu FIFA 20, Tekken 7, PUBG Mobile, Mobile Legends dan CS Go.
Muncul juara bagi permainan FIFA 20 ialah Awang Adib Sazali yang membawa pulang hadiah wang tunai $800, diikuti oleh Awang Abu Sufian di tempat kedua dengan menerima $509 dan Awang Abu Sufian dan Awang Faiz di tempat ketiga sekali gus menerima $309.
Permainan Tekken 7 pula dijuarai oleh Extreme Hefey yang membawa pulang wang tunai $800 manakala itu di tempat kedua dan ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai $500 dan $300, masing-masing dimenangi oleh KBM Balance dan Khai.
Perlawanan PUBG Mobile dijuarai oleh Woish Esport yang memenangi $1,250, manakala itu, God Fellas Gaming menjuarai perlawanan Mobile Legends dengan membawa pulang wang tunai $1,250 dan CS GO turut dimenangi oleh God fellas Gaming yang menerima $2,000.
Manakala itu, pemenang tempat kedua, ketiga dan keempat bagi PUBG Mobile dan Mobile Legends membawa pulang wang tunai sebanyak $1,000, $775 dan $775
Pemenang kedua dan ketiga CS Go pula masing-masing membawa pulang wang tunai $1,500 dan $1,000.
Hadiah-hadiah berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif DST, Radin Sufri bin Radin Basiuni. Turut menyampaikan hadiah untuk kejohanan FIFA 20 dan Takken 7 ialah Naib Presiden Kewangan DST, Hajah Maizan binti Halim.
Radin Sufri berkata, menerusi kejohanan seumpamanya, DST berharap akan dapat meningkatkan minat orang ramai terhadap E-Sukan dan membantu mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di negara-negara jiran di Asia.
