Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Dalam usaha untuk menambah dana dan menjana ekonomi Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kilanas, Karnival Hari Keluarga 2018 telah dilancarkan hari ini, di Airport Mall, Berakas.
Karnival yang berlangsung sehingga 5 Ogos itu dirasmikan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu.
Projek karnival kali ini menawarkan sekitar 20 petak jualan, yang dibukakan kepada peniaga kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, di samping PKS dari Malaysia dan juga Indonesia.
Di majlis pelancaran itu, Yang Berhormat Pehin Haji Hasrin telah membuat lawatan ke petak-petak jualan di karnival tersebut.
Karnival selama lima hari itu merupakan anjuran MPK Kilanas melalui Biro Perekonomian MPK Kilanas.

