Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival Kanak-kanak meriah

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 24 NOV – Kira-kira 500 kanak-kanak dan ibu bapa serta penjaga telah meraikan karnival sempena Hari Kanak-kanak Sedunia yang berlangsung di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC), Panaga, Seria, hari ini.
     
    Karnival peringkat kebangsaan anjuran Persatuan Pediatrik Brunei (BPS) bersama-sama Hospital Suri Seri Begawan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan itu telah disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
     
    Selaras dengan tema pada tahun ini, Setiap Kanak-kanak Punya Hak, karnival itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kanak-kanak.
     
    Pada acara itu, BPS telah menganjurkan pertandingan melukis untuk kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun dan pertandingan poster untuk kakitangan kesihatan. 
     
    Seramai 130 penyertaan bagi pertandingan melukis kanak-kanak telah diterima untuk tiga kategori umur – kanak-kanak berusia enam hingga lapan tahun, kanak-kanak berusia sembilan hingga 12 tahun dan kanak-kanak berusia 13 hingga 16 tahun.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menghadiri karnival tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Antara yang menyertai acara tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    GAMBAR OLEH DANIEL LIM
    Hadiah telah diberikan kepada lima pemenang teratas untuk setiap kategori pertandingan melukis dan tiga pemenang teratas untuk pertandingan poster. 
     
    Semua hasil lukisan dan poster penyertaan telah dipamerkan di acara tersebut.
     
    Selain itu, pakar pediatrik telah mengadakan tiga sesi perkongsian tentang keselamatan kanak-kanak untuk ibu bapa dan penjaga.
     
    Aktiviti-aktiviti yang diadakan semasa karnival termasuk fun run, permainan seperti padanan, memancing dan bouncers
     
    Beberapa vendor makanan dan minuman serta pelbagai barangan juga turut serta dalam karnival tersebut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu memperingati Hari Kanak-kanak Sedunia setiap tahun pada 20 November sejak 14 Disember 1954 dengan matlamat untuk memupuk kerjasama antarabangsa dalam melindungi hak-hak kanak-kanak dan mengutamakan kesejahteraan kanak-kanak di seluruh dunia.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda