Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival Kembara Islam buka tirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Karnival Kembara Islam 1438H anjuran Jabatan Daerah Brunei dan Muara dengan kerjasama Battle Pro Marketing and Management Services, membuka tirainya hari ini di Manggis Ballroom, Hua Ho Mall, di mana ia akan berlangsung selama tiga hari hingga 30 April.

    Perasmian karnival yang diadakan buat kali ketiga sejak 2014 itu telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad selaku tetamu kehormat.

    Majlis perasmian berkenaan juga telah diserikan lagi dengan Peraduan Azan. Kemudian tetamu kehormat meninjau jualan-jualan keusahawanan dan pameran.

    Selain Peraduan Azan, hari pertama karnival dihiasi lagi dengan Bengkel Surah Al-Fatihah yang kemudian disambung lagi dengan acara Malam Cinta Rasul yang diketuai oleh Awang Khairul Nazif.

    Objektif karnival berkenaan adalah untuk memperingati hari Israk dan Mikraj serta bagi orang ramai bergiat aktif lagi dalam acara keagamaan.

    Karnival yang berkonsepkan Islamik berkenaan memfokuskan kepada aktiviti-aktiviti dan pertandingan seperti Peraduan Membaca Al-Fatihah, Pertandingan Lagu Dakwah dan Gema Karnival Kembara Islam bersama Far East dan juga Bengkel Keusahawanan.

    Yang Berhormat Awang Iswandy ketika meninjau salah satu petak pameran Karnival Kembara Islam 1438H.
    Yang Berhormat Awang Iswandy ketika meninjau salah satu petak pameran Karnival Kembara Islam 1438H.
    Wakil Dayang Noor Ruzanna menerima hadiah bercuti ke negara ASEAN pilihan.
    Wakil Dayang Noor Ruzanna menerima hadiah bercuti ke negara ASEAN pilihan.

    Di samping itu, beberapa aktiviti juga akan diadakan iaitu Peraduan Tulisan Jawi, Hijaiyyah: Bina Perkataan, ‘Target Game’ dan juga ‘Reading Corner’ yang dianjurkan oleh Enrich Tutorial.

    Selain itu, Cabutan Bertuah ASEAN Dream Holiday juga diadakan di Manggis Ballroom, Hua Ho Mall pada jam 10 pagi.

    Seramai 100 orang peserta telah disenarai pendekkan dan dijemput untuk mengikuti cabutan bertuah berkenaan secara langsung.

    Seorang pengunjung bertuah, Dayang Noor Ruzanna binti Haji Jelani telah dipilih untuk memenangi dua tiket percuma bagi bercuti ke negara ASEAN pilihan.

    Manakala itu, mereka yang tidak terpilih tidak pulang dengan tangan kosong apabila membawa pulang hadiah-hadiah tajaan usahawan-usahawan di bawah kempen AkuManang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda