Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JULAI – Orang ramai yang mencari pengalaman bercuti dalam negera yang unik dan menarik, terutamanya semasa musim cuti penggal persekolahan pada Ogos ini, boleh berkunjung ke Karnival Kenali Negara Kitani yang berlangsung di The Mall, Gadong bermula hari ini.
Karnival tiga hari hingga 30 Julai anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan itu mengetengahkan lebih 80 pakej pelancongan tempatan dan staycation yang ditawarkan oleh sebanyak 21 penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan termasuk hotel, ejen pelancongan dan para penyedia perkhidmatan pelancongan tempatan.
Ia dihasratkan sebagai persediaan untuk membantu orang ramai bagi merancang percutian bersama keluarga dan rakan-rakan di dalam negara sempena musim cuti penggal persekolahan yang akan datang.
Para pengunjung secara rata-rata menyatakan rasa amat teruja dengan perisian karnival yang bukan sahaja mempromosikan pakej staycation tetapi memberikan pengetahuan kepada pengunjung mengenai tempat tarikan pelancongan yang ada di negara ini.
Mereka juga berpeluang untuk menyertai kuiz dan permainan informatif yang diadakan sepanjang karnival itu.
Karnival itu juga disertai oleh Darussalam Enterprise (DARe) yang akan mempromosikan produk tempatan di bawah inisiatif Bruneian Made dan imagine Sdn Bhd.




