Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival Lakanon Tutong tarik perhatian

    Oleh Nurdiyanah R.

     

    TUTONG, 23 Sept – Dengan matlamat untuk memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama padu melalui pendekatan keseluruhan negara serta mendukung Wawasan Brunei 2035 ke arah negara maju, Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Daerah Tutong dengan kerjasama ahli Badan Penyelaras dan Promosi Pelancongan Daerah Tutong telah mengadakan Karnival Lakanon Tutong (Tutong Food Carnival) di kawasan Bangunan Pasar Malam Pekan Tutong yang berlangsung sehingga hari ini.

    Karnival berkenaan telah bermula Jumaat lalu dengan dilancarkan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong selaku tetamu kehormat majlis.

    Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong, Yang Berhormat Haji Ramli bin Haji Lahit dan Yang Berhormat Haji Umarali bin Esung; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) serta pengerusi-pengerusi bersama majlis Karnival Lakanon Tutong.

    Pelbagai aktiviti dan acara telah dimuatkan sepanjang program tersebut antaranya bengkel memasak nasi menggunakan kayu api, demonstrasi masakan puak-puak dan masyarakat di Daerah Tutong, cabaran jaguh makan dan juga pertandingan pakar teka ramuan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar selaku tetamu kehormat majlis melihat produk tempatan yang dipamerkan di Karnival Lakanon Tutong baru-baru ini.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa meninjau pameran dan jualan yang ada di karnival tersebut.

    Karnival yang bertemakan ‘Marilah Makan Bersama Keluarga’ itu merupakan interpretasi bagi menggalakkan orang ramai untuk berkunjung ke karnival tersebut dengan membawa ahli keluarga makan bersama.

    Selain itu, karnival berkenaan juga diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan yang menarik seperti menaiki bot menyusuri Sungai Tutong, pameran burung dan aktiviti sukan paintball.

    Dengan adanya karnival berkenaan dihasratkan agar dapat memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelbagai aktiviti berkonsepkan perekonomian dan kemasyarakatan ke arah kemajuan Pekan Tutong sekali gus untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda