Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Karnival Makanan 2017 anjuran Mobile World Enterprise dibuka rasmi, hari ini, dengan menawarkan pelbagai jenis makanan tradisional dan antarabangsa, bertempat di Perkarangan Mobile World Pangkalan Gadong.
Karnival empat hari hingga 1 Oktober yang disertai lebih 10 buah syarikat makanan itu juga bertujuan untuk mempromosikan pelbagai acara dan aktiviti serta menyediakan platform baru untuk membantu golongan muda memulakan perniagaan.
Antara yang menyertai karnival itu adalah KFC, Jollibee, Syarikat Perniagaan Malar Setia, Sehat, Freezy Shushi Takoyaki dan banyak lagi.
Pengurus Karnival, Awang Aiman bin Haji Mohammad ketika ditemui berkata, sepanjang karnival berkenaan, cabutan bertuah juga diadakan dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi.

Setiap pembelian makanan di karnival berkenaan, pelanggan akan diberikan satu kupon untuk menyertai cabutan bertuah bermula esok hingga 1 Oktober.
Hadiah-hadiah utama yang akan dimenangi adalah tiga telefon pintar terkini seperti Oppo A37, Vivo, dan Nubia M2Lite di samping 30 hadiah menarik lain “Tujuan karnival ini diadakan bukan hanya untuk memperkenalkan makanan, malah turut membawa misi yang lebih besar iaitu mengeratkan hubungan di antara pelanggan dan Mobile World, di samping mewujudkan peluang perniagaan bagi usahawan muda tempatan,” ujar Awang Aiman.
Sementara itu, sempena Karnival Makanan berkenaan, Mobile World juga menawarkan promosi menarik seperti Beli 1 Percuma 1, diskaun separuh harga dan banyak lagi sepanjang karnival itu yang dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.