Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karnival Pengguna Antarabangsa buka tirai

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Karnival Pengguna Antarabangsa anjuran Pro Access Event Management telah membuka tirainya petang tadi pada majlis pelancarannya yang diadakan di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

    Pelancarannya telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Karnival yang berlangsung sehingga 5 Mac itu telah menyediakan sebanyak 70 buah petak pameran yang mana 60 peratus daripadanya adalah bagi peserta-peserta dari luar negara seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan PKS dari Negara Brunei Darussalam sendiri.

    Wakil penganjur Pro Access Event Management dalam ucapannya menjelaskan, karnival tersebut bertujuan untuk menyediakan platform kepada pengusaha-pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari Negara Brunei Darussalam, belia-belia lepasan sekolah, graduan dari institut pengajian tinggi yang belum mempunyai pekerjaan tetapi berminat untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan ingin memperkenalkan produk yang dimiliki dan seterusnya dapat mempromosikan barangan mereka.

    Semasa karnival itu, pihak penganjur dengan kerjasama Persatuan Usahawan Internet Malaysia (PUIM) juga akan mengadakan My Bisnes Online Talk pada 3 Mac di Dewan Pameran, Stadium Tertutup.

    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama ahli penganjur dari Pro Access Event Management.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama ahli penganjur dari Pro Access Event Management.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika meninjau salah satu petak pameran dan jualan dalam Karnival Pengguna Antarabangsa.
    Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi ketika meninjau salah satu petak pameran dan jualan dalam Karnival Pengguna Antarabangsa.

    Seminar itu nanti akan dibahagikan kepada dua sesi iaitu bermula jam 2:30 petang sehingga 6 petang dan jam 8 malam sehingga 10 malam yang akan menampilkan tiga orang penceramah khas dengan menyentuh topik-topik seperti FB Marketing, Copywriting dan Email Marketing.

    Ia dibukakan kepada semua belia lepasan sekolah, graduan-graduan institusi pengajian tinggi dan orang ramai yang berminat untuk memulakan perniagaan dalam Internet bagi sama-sama memberikan pendedahan kepada mereka dan bakal usahawan mengenai peluang perniagaan yang boleh dilaksanakan melalui Internet.

    Antara pengusaha dalam dan luar negara yang menjual produk mereka semasa karnival berkenaan.
    Antara pengusaha dalam dan luar negara yang menjual produk mereka semasa karnival berkenaan.

    Bagi yang berminat bolehlah membuat pendaftaran sehingga sepanjang karnival itu diadakan dengan yuran pendaftaran $50 bagi orang ramai dan $30 bagi pelajar.

    Manakala itu, Zolkflee Butir memberitahu bahawa penganjur juga bekerjasama dengan Persatuan 3P untuk mengungkayahkan acara pentas sepanjang karnival.

    Antara aktiviti pentas yang akan diadakan adalah penampilan artis-artis dari Negara Brunei Darussalam terdiri daripada ahli-ahli Persatuan 3P; Siti Aisah, Asimah, Jojo, Suzen, Ct Maryam dan Hajah Sa’adiah serta persembahan akustik oleh Kumpulan Iron Dragon, No Band dan Aqasha & Ai, peraduan seni khat oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, acara untuk kanak-kanak oleh Tinker Bell Learning School, Rumah Pusaka oleh Kumpulan Putra Seni, Pertandingan Menumpah Ambuyat dan Cabaran Teh Tarik oleh Sabli Food Industries Sdn Bhd.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda