KOTA BHARU, 1 OGOS – Kejohanan Berbasikal Karnival Sukan Kelantan 2019 yang diadakan pada 2 hingga 3 Ogos ini, menjadi medan untuk menguji serta mempersiapkan atlet berbasikal negeri itu bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, tahun hadapan.
Presiden Persatuan Berbasikal Negeri Kelantan (PBNK) Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata pada kejohanan itu nanti, para pelumba negeri dapat pendedahan dari segi teknik kayuhan, keyakinan diri serta mengukur prestasi mereka dengan pelumba dari negeri lain, yang turut sama dalam kejohanan itu nanti.
“Kami akan diuji bersama 10 pasukan lain iaitu empat pasukan daerah di Kelantan dan lima pasukan lain dari Selangor, Perak, Perlis, Kuala Lumpur dan Johor.
“Ia adalah peluang kepada atlet kami untuk memperbaiki teknik kayuhan, meningkatkan prestasi dan keyakinan diri sebelum bersaing pada Sukma 2020,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Fared berkata kejohanan itu turut menjadi kayu ukur kepada PBNK dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan menganjurkan acara berbasikal pada temasya Sukma 2024 nanti.
“Kejohanan Berbasikal Karnival Sukan Kelantan simulasi kepada kami dan MSN untuk menganjurkan acara berbasikal Sukma, di mana Kelantan dijangka akan menjadi tuan rumah enam tahun lagi.
“Kami mahu atlet menggunakan sepenuhnya peluang pada kejohanan ini, untuk membawa nama negeri Kelantan menjadi saingan hebat kepada negeri lain pada Sukma di Johor,” katanya.
Kejohanan itu merupakan pengalaman terbaik kepada PBNK untuk terbabit dalam penganjuran kejohanan-kejohanan ‘besar’ seperti SUKMA, katanya.
“Satu perkembangan baik kepada pembangunan sukan berbasikal di negeri ini apabila pihak kami diberikan peluang terlibat dengan penganjuran kojohanan berskala besar,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Kelantan satu-satunya negeri Pantai Timur di Semenanjung yang tidak pernah menganjurkan temasya dwi-tahunan itu. – Bernama