Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Penyertaan belia dan beliawanis masjid dari seluruh negara telah menyerikan Program Karnival Sukan Ria Belia dan Beliawanis Masjid bersama Warga Jabatan Hal Ehwal Masjid, yang diadakan di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Amir Hisham bin Haji Masri.
Program berkenaan merupakan hasil kolaborasi antara Bahagian Hal Ehwal Belia, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan Belia Masjid Ash-Shaliheen, sebagai salah satu inisiatif untuk memupuk semangat kesukanan serta mencungkil bakat terpendam dalam kalangan belia masjid.
Karnival berkenaan juga bertujuan memperkukuhkan semangat berpasukan serta memberikan pengiktirafan kepada para belia dan beliawanis masjid atas komitmen serta sumbangan mereka dalam mengimarahkan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan di masjid-masjid, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Selain itu, program turut menjadi platform untuk menerapkan nilai-nilai murni melalui aktiviti sukan serta mengeratkan hubungan silaturahim antara para belia dari seluruh negara.


Karnival itu khusus dianjurkan untuk golongan belia dan beliawanis masjid berumur antara 15 hingga 35 tahun, serta turut melibatkan penyertaan warga Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.
Terdahulu, para peserta telah menunaikan sembahyang Fardu Subuh secara berjemaah, diikuti dengan qiamullail dan tazkirah di Masjid Ash-Shaliheen, sebelum ke Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, bagi meneruskan atur cara program.
Program dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan tetamu kehormat dan perasmian, sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.
Antara acara menarik yang dipertandingkan termasuk larian berganti-ganti, larian ikat kaki sebelah, Octopus Race, memancing dalam botol dan tiup bola air.
Melalui penganjuran Karnival Sukan Ria Belia Masjid yang julung kali diadakan itu, diharapkan ia dapat mencetuskan perubahan positif dalam diri para peserta, bahawa aktiviti belia masjid bukan hanya tertumpu kepada program keagamaan semata-mata, malah turut merangkumi aktiviti kesukanan, sekali gus melahirkan generasi belia yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

