TOKYO – Dalam salah satu catatan diari terakhirnya, guru Jepun, Yoshio Kudo mengeluh kerja yang bermula awal mungkin berakhir sehingga tengah malam. Dua bulan kemudian, dia mengalami ‘karoshi’ – kematian akibat kerja terlalu kuat.
Jadual Kudo yang padat adalah budaya kerja yang lazim di Jepun, di mana guru-guru bekerja untuk masa paling panjang di dunia, dibebani tugas-tugas daripada pembersihan dan penyeliaan pertukaran sekolah kepada aktiviti kelab selepas sekolah.
Satu tinjauan OECD pada 2018 mendapati guru sekolah menengah Jepun bekerja 56 jam seminggu, berbanding purata 38 jam di kebanyakan negara maju.
Namun ia masih gagal menerangkan sebab-sebab jumlah kerja lebih masa yang menghairankan itu.
Satu siasatan oleh kumpulan pemikir kesatuan pekerja menunjukkan guru-guru sekolah bekerja lebih masa 123 jam secara purata setiap bulan, mencetuskan beban kerja melepasi ‘had karoshi’ sebanyak 80 jam.






Guru-guru berkata mereka hampir mengalami tahap gangguan jiwa, dan sesetengahnya telah mencabar budaya itu menerusi tindakan undang-undang. Pada tahun ini, parti pemerintah Jepun menubuhkan pasukan petugas untuk menyiasat isu yang dihadapi.
Semuanya sudah terlambat bagi Kudo, guru sekolah menengah, yang meninggal dunia akibat pendarahan otak pada usia 40 tahun pada tahun 2007.
Pada upacara pengebumiannya, seorang pelajar yang tergamam memberitahu isteri Kudo, Sachiko bahawa guru pendidikan jasmani yang cergas itu ‘langsung tidak terfikir akan meninggal dunia.’
“Dia suka bersama budak-budak,” beritahu Sachiko, 55, kepada AFP.
Namun dalam minggu-minggu terakhirnya, dia kelihatan bergelut dengan masanya.
“Pada akhirnya, dia memberitahu saya bahawa guru harus berhenti bekerja seperti ini dan dia mahu memimpin perubahan itu demi masa depan,” kata balunya.
Pihak berkuasa Jepun telah mengarahkan langkah-langkah termasuk mendigitalkan beberapa tugasan.
“Langkah untuk memperbaharui keadaan kerja untuk guru-guru sedang mencatat perkembangan yang baik,” beritahu Menteri Pendidikan, Keiko Nagaoka kepada parlimen pada Oktober.
Namun dia mengakui ramai yang masih ‘mempunyai waktu kerja panjang’ dan ‘usaha perlu dipercepatkan.’
Data kementerian pendidikan menunjukkan penurunan kerja lebih masa secara beransur-ansur namun pakar melihat tiada perubahan asas.
Daripada kerja-kerja menulis berkajang-kajang kepada tugas-tugas seperti pengagihan makan tengah hari, mengetuai sesi pembersihan harian bersama pelajar dan mengawasi kanak-kanak dalam perjalanan mereka ke dan dari sekolah, guru-guru di Jepun ‘secara tidak langsung telah menjadi ‘orang yang membuat kerja rencam’, kata pakar runding pengurusan sekolah, Masatoshi Senoo.
“Apa yang patut menjadi tanggungjawab ibu bapa ada kalanya dipikul oleh guru, yang boleh diarah untuk meminta maaf kepada penduduk tempatan apabila pelajar berperangai buruk di taman atau kedai runcit,” katanya.
Salah satu tugas paling memakan masa adalah menyelia aktiviti sukan dan kelab budaya pelajar, biasanya diadakan selepas sekolah dan pada hujung minggu.
“Ditugaskan sebagai penyelia utama salah satu kelab berkenaan biasanya bermakna awda perlu mengorbankan masa hujung minggu awda,” kata Takeshi Nishimoto, guru sejarah sekolah tinggi di Osaka.
Pada Jun, Nishimoto, 34, memenangi tindakan guaman luar biasa yang berusaha mendapatkan pampasan atas stres yang dialami akibat kerja terlalu kuat.
Dia memfailkan tindakan undang-undang selepas nyaris-nyaris mengalami gangguan jiwa pada 2017, apabila penyelia kelab ragbi bekerja lebih masa 144 jam dalam sebulan.
Menurut pakar, guru-guru terutamanya mudah terdedah kepada kerja lebih masa disebabkan undang-undang berusia beberapa dekad yang menghalang mereka daripada dibayar untuk kerja lebih masa.
Sebaliknya, undang-undang menambah bayaran tambahan bersamaan lapan jam kerja kepada gaji bulanan mereka, rangka kerja yang dikatakan Nishimoto ‘memaksa guru-guru bekerja tanpa had waktu untuk gaji tetap.’
Masako Shimonomura, guru pendidikan jasmani sekolah menengah di daerah Edogawa, Tokyo, berkata dia berasa sukar untuk berehat semasa bekerja.
“Namun bukan semuanya teruk mengenai kerja ini,” kata-nya, menggunakan istilah Jepun untuk kerja bersifat eksploitasi.
“Juga ada masanya saya mempunyai masa menyeronokkan, seperti melihat pelajar dalam kelab sofbal mencatat keputusan cemerlang dalam kejohanan,” kata guru berusia 56 tahun itu, di mana mejanya dipenuhi timbunan fail dan dokumen.
Namun dia bimbang sekiranya keadaan tidak bertambah baik, ‘imej pekerjaan kami yang ‘suram’ akan mendominasi generasi lebih muda.’
Satu siasatan oleh akhbar Mainichi mendedahkan dalam dekad sehingga 2016, terdapat 63 kematian guru sekolah awam yang diklasifikasikan sebagai berpunca daripada kerja terlalu teruk.
Namun ia mengambil masa lima tahun untuk balu Kudo mendapatkan pengiktirafan ‘karoshi’ atas kematian suami-nya, satu tugas yang dirumitkan oleh kekurangan rekod untuk waktu kerjanya.
Dia berkata tugas mengajar sering dilihat sebagai ‘pekerjaan mulia’ yang ditumpukan kepada kanak-kanak, maka apa-apa yang dianggap sebagai mementingkan diri sendiri, termasuk mencatat waktu kerja, boleh dilihat sebagai sesuatu yang janggal.
“Maka ramai guru berasa kesal mereka telah mengabadikan kehidupan mereka tanpa berpeluang menikmati pembesaran anak-anak mereka sendiri,” ujarnya. – AFP

