Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Kartel kokain tumpas di Dubai, Eropah

    THE HAGUE, 28 NOV – Polis membongkar ‘kartel super’ dadah besar yang mengawal satu pertiga daripada perdagangan kokain Eropah, menahan 49 orang di pelbagai negara, termasuk enam ketua suspek di Dubai, kata Europol hari ini.

    Operasi besar antarabangsa itu berjaya merampas 30 tan dadah dan membawa kepada penahanan di Belgium, Perancis, Belanda dan Sepanyol, kata agensi polis Kesatuan Eropah (EU) dalam satu kenyataan.

    Tindakan keras itu – yang membabitkan seorang ‘individu amat berpengaruh’ dari Belanda dan berpangkalan di Dubai – sebahagian besarnya menyasarkan kokain yang datang dari Amerika Selatan melalui pelabuhan Rotterdam dan Antwerp.

    “Sindiket dadah, yang dianggap sebagai sasaran bernilai tinggi oleh Europol, telah berkumpul untuk membentuk apa yang dikenali sebagai ‘kartel super’ yang mengawal sekitar satu pertiga daripada perdagangan kokain di Eropah,” menurut kenyataan Europol.

    “Skala pengimportan kokain ke Eropah di bawah kawalan dan perintah suspek adalah besar-besaran dan lebih 30 tan dadah telah dirampas oleh penguat kuasa undang-undang sepanjang penyiasatan.”

    Europol berkata Dubai telah menahan dua suspek ‘bernilai tinggi’ yang dikaitkan dengan Perancis, dua dikaitkan dengan Belanda dan dua lagi dikaitkan dengan Sepanyol.

    Seramai 10 orang telah ditangkap di Belgium, enam di Perancis dan 13 di Sepanyol. Seramai 14 orang lagi ditangkap pada 2021 di Belanda sebagai sebahagian daripada operasi yang sama, kata pertubuhan yang berpangkalan di Hague itu.

    Tangkapan itu adalah yang terbaharu dalam siri yang menyusuli penggodaman polis terhadap telefon canggih yang digunakan oleh rangkaian jenayah terancang pada tahun lalu, kata Europol. – AFP

    Gambar fail menunjukkan ibu pejabat Europol di The Hague, Belanda. Europol berkata pihak berkuasa di enam negara telah bergabung untuk menumpaskan kartel dadah yang mengawal satu pertiga daripada perniagaan kokain di Eropah. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...