NANJING – Karya seni yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI) hasil sentuhan artis digital, Refik Anadol telah dipersembahkan kepada penonton China buat kali pertama di Muzium Seni Deji di Nanjing, wilayah Jiangsu, baru-baru ini.
Dikenali dengan seni yang dipacu oleh data dan AI, Anadol mahir dalam menggunakan data secara kreatif sebagai bahannya untuk membuat arca, persembahan langsung dan karya yang mengasyikkan, yang menggalakkan penonton untuk memikir semula interaksi me-reka dengan dunia sebenar dan dengan potensi kreatif mesin.
Dua karya pilihan yang mewakili karya berskala besar artis digital itu dipamerkan di Muzium Seni Deji: satu dipaparkan di dalam muzium dan satu lagi ditayangkan pada skrin LED besar di hadapan dataran pusat membeli-belah di mana muzium tersebut terletak.
Melting Memories Engram Box menggambarkan pergerakan di dalam otak manusia, yang berdasarkan kepada eksperimen Anadol dengan teknologi tinggi yang disediakan oleh Makmal Neurospace di Universiti California.
Quantum Memories Probability menggunakan data penyelidikan komputer kuantum yang tersedia secara terbuka dan algoritma dari Google AI untuk menjana 200 juta imej alam semula jadi dan landskap sebagai data visual yang bergerak secara berterusan di sekeliling orang, mewujudkan pandangan dinamik mengenai berbilang dunia dalam dunia kuantum.
“Data bukanlah sekadar sekumpulan nombor tetapi juga sebenarnya memori,” menurut artis itu.
Pameran bertajuk The Transformative Power of Memories cuba memberi orang ramai peluang memikirkan semula nilai memori mereka dan mengkaji hubungan antara manusia dan dunia sebenar.
Sebagai sebuah muzium seni swasta, Muzium Seni Deji mengadakan beberapa pameran yang menggabungkan seni dan teknologi. – ANN/The China Daily