Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karya anak Malaysia dijadikan siri animasi

    KUALA LUMPUR, 30 April – Pengarang buku “Mila,” Maslina Yusoff, tidak lama lagi akan menyaksikan karyanya diadaptasi ke dalam bentuk animasi untuk tayangan di peringkat antarabangsa, hasil kerjasama dengan sebuah studio terkemuka dari Korea Selatan, H Culture.

    Bekas pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata idea mengenai kisah yang terkandung dalam buku berkenaan dicetuskan anak perempuannya dan beliau sendiri memang bercita-cita untuk menulis dan menghasilkan ilustrasi untuk buku anak-anaknya.

    “Saya sungguh teruja untuk melihat “Mila” menjelma dalam bentuk bernyawa melalui siri animasi dan saya amat gembira kerana watak saya mendapat perhatian sebuah studio antarabangsa. Saya percaya ia akan mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan berharap ia mampu melangkah lebih jauh lagi,” kata penulis kelahiran Johor Bahru itu.

    Mila, yang mengandungi sembilan siri dan menduduki tempat teratas dalam senarai 50 Amazon, mengisahkan tentang pengembaraan Mila, seorang budak perempuan berambut keriting, sama seperti anak Maslina sendiri. Siri animasi itu dijangka mengembangkan watak dan dunia kehidupan Mila, dengan Maslina sendiri akan menjadi penulis skripnya serta menyelia pembinaan watak dalam siri itu, manakala seorang pengarah akan menyelia proses animasinya.

    Sementara itu, presiden dan pengarah animasi H Culture, Sukhwa Hong berkata beliau terpaut dengan watak Mila kerana ia begitu unik dan memikat hati.

    “Watak itu akan mendapat sambutan baik daripada penonton. Memanglah, menghasilkan siri animasi berkualiti tinggi akan mengambil masa, tetapi saya percaya dengan adanya pasukan yang hebat serta penuh kesungguhan, kami akan dapat menghidangkan sebuah kisah menarik,” katanya.

    Siri animasi berkenaan akan diusahakan mulai September ini dan treler animasi sepanjang dua minit sedang dihasilkan untuk menarik perhatian bakal pembeli di Perancis, United Kingdom dan Poland, yang telah menyuarakan minat mereka terhadap siri itu, dengan menyasarkan kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun sebagai penontonnya.

    “Penghasilannya akan mengambil masa dua tahun untuk selesai dan siri ini akan diterbitkan dalam bahasa Inggeris untuk pasaran antarabangsa. “Di samping menghasilkan siri animasi itu, H Culture juga akan menjadi pengedar tunggalnya untuk pasaran global,” kata Hong.

    Buku “Mila” pada mulanya diterbitkan di China dan diterjemahkan serta diterbitkan di Malaysia oleh Fazamas Books, Buku Prima dan Dewan Bahasa dan Pustaka. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda