LONDON, 19 FEB – Lukisan oleh artis jalanan Banksy bermesej alam sekitar dengan anggaran sehingga 5 juta pound (AS$6.3 juta) akan dilelong, dengan sebahagian daripada hasil untuk bantu mangsa kebakaran hutan Los Angeles.
Rumah lelong Sotheby berkata kelmarn bahawa Crude Oil (Vettriano) milik koleksi Mark Hoppus, pemain bass dengan kumpulan Blink-182 akan dilelong di London bulan hadapan.
Karya tersebut adalah sebahagian daripada siri karya 2005 di mana Banksy mengaitkan lukisan-lukisan terkenal seperti Sunflower oleh Vincent van Gogh dan Nighthawks oleh Edward Hopper.
Artis itu berkata tujuannya adalah untuk menunjukkan bahawa “kerosakan sebenar yang berlaku kepada alam sekitar bukanlah disebabkan oleh penulis grafiti atau remaja mabuk, tetapi oleh perniagaan besar.”
Karya berkenaan berdasarkan The Singing Butler sebuah lukisan oleh artis Scotland, Jack Vettriano yang menunjukkan pasangan dalam gaun malam menari di pantai sambil dipayungkan oleh pelayan. Banksy turut menambah kapal minyak tenggelam dan dua pekerja membawa tong sisa toksik.
“Kami terus suka lukisan ini apabila kami melihatnya,” kata Hoppus, yang membeli karya seni itu bersama isterinya, Skye Everly, pada 2011.
Hoppus berkata dia akan menggunakan hasil jualan itu untuk membeli karya yang lain dan juga akan menyumbang sebahagian daripadanya ke Yayasan Kebakaran California, Hospital Kanak-Kanak Los Angeles dan pusat Penyelidikan Onkologi Hematologi Cedars Sinai.
Banksy telah menjadi salah seorang pelukis terkenal di dunia dengan beberapa karya lain seperti rusuhan bersenjata dengan muka kuing tersenyum dan seekor cimpanzi dengan papan tanda bertulis, “Ketawalah sekarang, tetapi suatu hari nanti saya yang akan jadi ketua.” – AP
