Pengarah dan penerbit filem terkenal, Mamat Khalid mendedahkan ada beberapa individu berminat untuk mengadaptasikan karya popular arahannya dalam bentuk komik.
Bersikap terbuka dengan cadangan itu, Mamat berkata, ia akan menjadi lebih menarik jika usaha turut disokong syarikat penerbitan yang berpengalaman. “Pernah ada beberapa orang pelukis datang menemui saya dan melahirkan hasrat untuk menjadikan filem saya seperti Man Laksa dan Hantu Kak Limah dalam bentuk komik. Saya mengalu-alukan usaha mereka. “Saya pun sudah melihat contoh lukisan diberikan. Saya seronok melihat hasilnya. Bagaimanapun, usaha ini tidak boleh dilakukan secara individu dan perlu ada pembabitan syarikat penerbitan,” katanya ketika sidang media virtual drama bersiri, Kampong Pisang Bersiri-Siri.
Sebagai orang yang bertanggungjawab mencipta karakter dalam karyanya itu, Mamat berkata, sudah tentu teruja untuk melihat watak berkenaan berkembang dalam medium yang berbeza.

“Kita sudah tonton filem dan pentas teater, sudah tentu saya teringin melihat watak berkenaan dijadikan komik mahupun animasi. Itu juga salah satu cara untuk penonton menyaksikan, sekali gus menghargai karya saya dalam platform berbeza.
“Saya harap akan ada mana-mana syarikat penerbitan berminat untuk memberi sokongan terhadap usaha ini,” ujar pengarah berusia 57 tahun itu.
Sementara itu, mengulas drama terbaharunya itu, pemilik nama Muhammad Mohd Khalid itu berkata, selain menonjolkan watak hantu yang cukup dekat dengan masyarakat hari ini, drama Kampong Pisang Bersiri-Siri itu juga sarat dengan pelbagai isu semasa.
“Dalam drama ini memang akan ada paparan watak hantu yang cukup dekat dengan masyarakat seperti toyol, pocong, hantu raya dan makhluk asing. Cuma gambaran hantu mengikut imaginasi saya kerana kita tidak ada contoh khas yang boleh dijadikan sumber rujukan.
“Contohnya, watak hantu raya, saya gambarkan ia makhluk yang besar, tinggi dan berbulu. “Seperti karya yang lain, saya juga akan mengetengahkan isu yang cukup relevan dengan kehidupan hari ini. Bezanya, saya lebih berani untuk bersuara berbanding agak berlapik sebelum ini. Tiada sebarang mesej ataupun pengajaran dalam naskhah ini, sebaliknya saya serahkan kepada penonton untuk menilainya,” ujarnya.
Kampong Pisang Bersiri-Siri menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Awie, Bell Ngasri, Kazar Saisi, Aziz M Osman, Mat London, Sharwani NS, Joey Daud dan ramai lagi. Ia bakal bersiaran menerusi saluran Astro Citra bermula 7 Disember ini. – Agensi