Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karya Picasso dijual AS$139.4 juta

    NEW YORK, 9 NOV – Karya agung Pablo Picasso tahun 1932 ‘Femme A La Montre’ dijual pada harga hampir AS$140 juta dalam lelongan di New York semalam, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Ia merupakan karya kedua Picasso yang paling mahal dijual di lelongan, mencecah AS$139.4 juta, menurut rumah lelongan Sotheby’s. Pada 2015, ‘Les Femmes d’Alger (Versi ‘O’)’ Picasso dilelong di Christie’s di New York pada harga AS$179 juta.

    Sotheby’s berkata lukisan itu, yang merupakan potret kekasihnya Marie-Therese Walter, dibeli oleh pengumpul Emily Fisher Landau pada 1968. Ia digantung di atas pendiangan di pangsapuri mewahnya di New York selama bertahun-tahun.

    Pembeli lukisan pada lelongan semalam tidak dinyatakan.

    Selain hasil karya Picasso, sejumlah 120 karya lain ditawarkan pada lelongan dua hari itu menjelang jualan tradisional musim luruh minggu depan.

    Landau yang menerima jumlah insurans yang besar pada akhir tahun 1960an selepas berlaku kecurian barang kemasnya, mula membeli karya seni.

    Selama bertahun-tahun, beliau mengumpul koleksi seni moden penting di dunia, termasuk karya Georgia O’Keeffe, Agnes Martin, Keith Haring, Robert Rauschenberg, Cy Twombly dan Robert Mapplethorpe. – Bernama

    Pekerja Sotheby’s mengambil gambar semasa pelelongan karya Picasso ‘Femme a la Montre’ di Sotheby’s di Bandar New York pada 8 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda