Wednesday, March 19, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karya seni, filem pendek pelajar UBD dipamer di Festival Kesenian AUNCA

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – Lima karya seni dan tujuh filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar Design and Creative Industries (DCI), Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FASS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah dipilih untuk dipamerkan pada Pameran Seni Reka Bentuk Crosslight Rangkaian Universiti ASEAN mengenai Budaya dan Seni (AUNCA) dan Festival Filem Crosslight AUNCA, masing-masing pada 26 dan 28 Julai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pameran seni reka bentuk dan festival filem Crosslight itu berfungsi sebagai platform untuk pelajar dan guru-guru dari universiti ahli AUN + 3 untuk berkongsi dan memupuk pemahaman yang lebih mendalam mengenai budaya setiap negara.

    Kenyataan menyatakan, menurut penganjur Festival Kesenian AUNCA, kedua-dua aktiviti tersebut menampilkan individu, tempat, seni dan warisan negara masing-masing atau sebarang reaksi inovatif dan artistik terhadap situasi pandemik sekarang dalam pelbagai bentuk rekaan (Pameran Seni Reka Bentuk Crosslight) serta dokumentari, filem tayangan, filem pendek dan animasi (Festival Filem Crosslight).

    Pameran Seni Reka Bentuk Crosslight disiarkan secara langsung melalui laman Facebook AUNCA, kelmarin.

    Manakala itu, filem pendek yang di-pilih untuk ditayangkan di festival filem berkenaan pula boleh disaksikan di laman Facebook AUNCA sehingga esok yang kemudian akan disiarkan di saluran YouTube AUN dan laman sesawang AUN.

    Terdapat 20 filem pendek terpilih daripada sembilan universiti Asia di lapan buah negara untuk dipamerkan pada festival filem pendek berkenaan.

    Kenyataan menambah, filem pendek dari UBD merangkumi enam karya fiksyen iaitu Bunga (2019), Suara (2019), The Seventh (2019), Broman (2019), Anak Ayah (2020) dan Ejen Kriminal (2020) serta sebuah dokumentari bertajuk Norma (2021), yang merupakan dokumentari pertama yang dibuat oleh pelajar UBD DCI yang akan ditayangkan di festival filem antarabangsa di luar negara.

    Pencapaian itu dicapai oleh empat pelajar UBD sebagai kru produksi yang terdiri daripada Dayang Nur Amirah Nadiah binti Haji Jamil, Awang Muhammad Farhan Nizam bin Zaini, Awang Mohamad Danial Basyri bin Zamain dan Ng Ching Zhou.

    Di samping empat pelajar berkenaan, pelajar DCI yang terdiri daripada lulusan senior hingga junior dan sophomores turut terlibat dalam pembuatan filem pendek dan reka bentuk seni yang mana kreativiti dan bakat mereka menjadikan UBD dan FASS menonjol dalam festival seni antarabangsa berkenaan.

    Pameran Seni Reka Bentuk AUNCA Crosslight, Festival Filem Crosslight dan Pertunjukan Persembahan Crosslight akan ditayangkan pada 30 Julai yang menjadi sebahagian daripada Festival Kesenian AUNCA 2021.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda