BATTAMBANG – Di tengah-tengah wilayah Battambang, Kemboja, sebuah karya seni muncul dari sumber yang tidak disangka iaitu batang pokok palma yang sudah mati.
Mempunyai ketinggian lebih dua meter, pokok yang kelihatan biasa ini menyimpan reka bentuk menarik dari Keo Sobin, seorang artis tempatan.
Daripada naga berkepala tujuh hinggalah kepada Raja Jayavarman VII, corak ukiran Sobin menarik perhatian pejalan kaki yang ingin tahu.
Penduduk kampung Wat Kandal berusia 33 tahun di pekan Battambang, Sobin pada mulanya adalah seorang pelajar bidang elektronik di Institut Politeknik Kebangsaan Kemboja (NPIC). Walau bagaimanapun, selepas tamat pengajiannya, dia beralih daripada elektronik untuk menerapkan minatnya terhadap seni.
Dia menghabiskan setahun untuk menguasai seni lukisan di bawah bimbingan seorang seniman lain, memperkayakan kebolehannya melalui penyelidikan yang gigih dan kajian dinding kuil purba.

“Walaupun saya memperoleh kemahiran bidang elektronik, keinginan sebenar saya untuk melukis telah membawa saya ke jalan ini. Saya bercita-cita untuk hidup melalui seni saya, mempromosikan seni dan budaya Kemboja,” kongsi Sobin.
Selepas memperoleh ijazahnya pada 2017, dia telah mengasah kemahirannya secara bebas, meneruskan dedikasinya terhadap kraf.
Walaupun asal usul keluarganya di kampung Banang, komune Sdao, dia memilih untuk menyendiri di dalam Wat Kandal. Pendapatannya diperoleh melalui bakat seninya dalam bidang ukiran dan lukisan.
Mengimbas kembali perjalanan seninya selama enam tahun, Sobin mendedahkan karyanya menghiasi ruang awam di wilayah Battambang. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa lukisan dan arca ini merupakan hasil daripada usaha kreatif beliau.
Menjelaskan proses tersebut, Sobin bermula dengan tunggul pokok palma yang dipilih, biasanya sepanjang kira-kira 2.5 meter dengan diameter 0.70 meter. Tunggul itu kemudiannya diubah menjadi kanvas di mana gaya artistik tradisional Khmer menghidupkan kisah-kisah dari Empayar Khmer Agung yang menampilkan tokoh legenda seperti Indra Devi dan Jayavarman VII.
Dia menjelaskan tentang kemahirannya, merangkumi bukan sahaja lukisan tetapi juga ukiran yang rumit. Hasil ciptaannya terdiri daripada lukisan buluh hinggalah tanglung dihiasi dengan ukiran bunga. – ANN/Phnom Penh Post