Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karya seni pisang dijual AS$6.2 juta

    NEW YORK, 21 NOV – Sebiji pisang segar yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat perak, hasil karya seni konseptual provokatif oleh artis Itali, Maurizio Cattelan, telah dibeli pada harga AS$6.2 juta oleh seorang usahawan mata wang kripto dalam satu acara lelongan di New York, menurut kenyataan Sotheby’s, semalam.

    Penampilan pertama karya seni yang dinamakan Comedian itu mula mencetuskan kontroversi ketika dipamerkan pada acara Art Basel di Miami Beach pada 2019, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sama ada ia patut dianggap sebagai seni, seperti yang dinyatakan oleh Cattelan.

    Pembelinya, seorang lelaki kelahiran China, Justin Sun, membayar lebih enam juta dolar kelmarin, untuk membeli karya yang terdiri daripada sebiji pisang segar dan pita pelekat berwarna perak yang mana ia dijual pada harga AS$120,000 lima tahun lalu.

    “Ini bukan sekadar karya seni. Ia mewakili fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme dan komuniti matawang kripto.

    “Saya percaya karya ini akan memberi inspirasi kepada lebih banyak pendapat dan perbincangan pada masa depan dan ia akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” kata Justin seperti yang dipetik di dalam kenyataan dikeluarkan Sotheby’s.

    Penjualan itu melibatkan tujuh pembeli berpotensi yang mana Sotheby’s menetapkan garis panduan harga sebanyak AS$1 juta hingga AS$1.5 juta sebelum bidaan.

    Memandangkan jangka hayat pisang tidak lama, Justin pada dasarnya membeli sekeping sijil pengesahan keaslian hasil karya Cattelan selain cara-cara untuk menggantikan buah berkenaan apabila telah rosak.

    Pisang tersebut yang dilelong semalam adalah versi ketiga karya tersebut, selepas versi pertama dimakan oleh artis persembahan, David Datuna, yang mengaku ‘lapar’ ketika memeriksa hasil seni itu di Miami. – AFP

    Karya seni Comedian oleh Cattelan dipamerkan semasa pratonton acara lelongan di Sotheby’s di New York, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda