MONTREAL – Pelukis yang berpangkalan di Montreal, Audrey-Eve Goulet pada mulanya tidak pasti ketika dia melihat lengan robot berkuasa kecerdasan buatan (AI) menghasilkan semula salah satu karyanya, tetapi berkata hasilnya sungguh mengagumkan.
“Saya terkejut,” katanya, sambil melihat peranti itu memegang berus, mencelupkannya ke dalam bekas cat dan meniru beberapa hasil kerjanya dengan lorekan berus.
Goulet telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Acrylic Robotics, sebuah syarikat yang berpangkalan di Montreal yang mengatakan ia berhasrat membantu para pelukis mencari rezeki dengan membuat replika kerja yang berkualiti tinggi, dengan persetujuan mereka.
Pengasas syarikat, Chloe Ryan berkata kepada AFP, idea itu timbul selepas menyedari pendapatannya yang tidak memuaskan.
Dia berkata dia mula menjual lukisan pada usia 14 tahun, tetapi semakin kecewa dengan masa minggu, atau bulan, yang diperlukan untuk menghasilkan setiap karya.





“Saya membuat anggaran matematik dan saya berkata, saya menghasilkan AS$2 dalam masa sejam,” tambahnya.
Ryan belajar robotik mekanikal di Universiti McGill di Montreal, dan mula mempertimbangkan cara robot boleh membantu menghasilkan semula kerjanya sendiri, sebelum melancarkan syarikat untuk menjadikan teknologi itu boleh diakses oleh para pelukis di seluruh dunia.
LOREKAN BERUS DIGITAL
Menilai prestasi robot itu, Goulet berkata, “Ia benar-benar kelihatan seperti salah satu karya saya.”
“Saya suka awda boleh melihat lorekan berus… Awda benar-benar boleh melihat ke mana berus itu bergerak dan bentuk yang dilukisnya,” katanya, mengakui versi pengeluaran robot itu adalah ringkas berbanding dirinya sendiri.
“Lukisan terakhir saya mungkin sukar untuk disiapkan, tetapi robot itu hanya merujuk lakaran terakhir,” katanya.
Ryan berkata dengan mereplikasi kronologi lorekan berus, syarikatnya boleh menangkap aura sekeping lukisan…dengan cara yang tidak pernah dirakam oleh cetakan foto.
Untuk menghasilkan semula karya Goulet, pakar Robotik Akrilik mencipta semula kerja menggunakan lorekan berus digital dan pigmen, membangunkan arahan untuk membimbing robot.
Ryan merancang untuk memajukan teknologi tersebut, membolehkan artis memuat naik imej secara langsung.
Dia mahu mencipta pasaran atas permintaan di mana pelanggan boleh membuat permintaan khas, seperti potret anjing mereka dalam gaya pelukis kegemaran mereka.
PERMINTAAN TINGGI
Ryan berkata dia memahami kebimbangan komuniti artistik tentang AI generatif, tetapi menegaskan syarikatnya berpegang kepada prinsip ‘Tiga C’ yang dituntut oleh pelukis iaitu persetujuan, kredit dan pampasan.
“Ramai orang, sebelum mereka memahami sebab apa yang kami cipta, melihat lukisan robot dan berkata, ini adalah perkara paling buruk yang pernah saya lihat,” katanya kepada AFP.
Robotik Akrilik memberi tumpuan untuk meningkatkan pendapatan pelukis, terutamanya bagi mereka yang gagal menembusi galeri elit, kata Ryan.
Apabila mendekati seorang pelukis, dia kadangkala mencadangkan mereka menghantar beberapa keping rujukan kerja yang telah disiapkan.
Apabila dia memberitahu mereka, “Saya hanya akan memasukkan wang ke dalam akaun bank awda pada akhir setiap bulan…. Terdapat sambutan yang lebih hangat,” katanya.
Harga untuk menghasilkan semula karya tersebut boleh berbeza-beza, dengan purata antara beberapa ratus hingga seribu dolar.
Hasil pendapatan yang tidak menentu dibahagi dua dengan pelukis.
Pelukis baru muncul yang hanya memuat naik gambar sekeping dengan nilai terhad mungkin mendapat 5 peratus daripada jualan, tetapi jumlah itu boleh meningkat kepada 50 peratus untuk pelukis terkemuka dengan pembeli mereka sendiri yang berminat dengan hasil karya mereka.
“Kami mempunyai senarai menunggu kira-kira 500 pelukis, “ kata Ryan.
Michael Kearns, seorang Profesor Sains Komputer dan Maklumat di University Pennsylvania, mempersoalkan sama ada teknologi itu akhirnya akan menurunkan nilai produk.
Kearns, sebahagian daripada program biasiswa Amazon yang membiayai ahli akademik untuk menangani cabaran teknologi, berkata dia memahami desakan untuk membenarkan lebih ramai orang mencari rezeki yang baik daripada hasil (seni).
Tetapi, dia menegaskan, apabila awda membuat sesuatu yang sukar didapati, ia akan mengubah persepsi orang tentang nilainya. – AFP
