Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Karya seni tampil keunikan budaya Malaysia

    MALAYSIA – Pameran solo terbaharu seniman Yeo Eng Peng, bertajuk Harmony in Diversity, mengetengahkan kepelbagaian budaya Malaysia melalui pelbagai medium seni.

    Pameran yang berlangsung sehingga 31 Ogos di sebuah galeri di Petaling Jaya, Selangor, mempamerkan 50 karya seni termasuk lukisan minyak, cat air dan karya plein-air (melukis di luar ruangan).

    Yeo berkata pameran ini meneroka konsep keharmonian dalam kalangan pelbagai kaum dan budaya di Malaysia.

    “Saya memilih tema Harmony in Diversity kerana Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan masyarakat. Kita hidup sebagai satu bangsa.

    “Melalui pameran ini, saya cuba menyampaikan mesej positif bersempena dengan Hari Kebangsaan, untuk mengingatkan kita semua agar menghargai keharmonian yang kita nikmati,” katanya semasa ditemui di galeri tersebut.

    Keindahan lukisan minyak dalam Siri Malaysian Pride. – ANN/The Star
    ‘Glamorous’ hasil seni terbaharu Yeo Eng Peng. – ANN/The Star
    Yeo Eng Peng semasa ditemui wartawan, baru-baru ini – ANN/The Star
    ‘Transformation’ karya seni yang penuh makna. – ANN/The Star
    Gambar oleh ANN/The Star
    Lukisan cat air Yeo memukau pengunjung di pameran seni. – ANN/The Star
    Gambar oleh ANN/The Star

    Mengulas mengenai tempoh masa yang diambil untuk menyiapkan karya-karyanya, Yeo berkata, “Lukisan cat air biasanya mengambil masa kira-kira seminggu, manakala lukisan minyak memerlukan lebih masa disebabkan proses lapisan, sementara karya plein-air yang dihasilkan di luar ruangan biasanya boleh disiapkan dalam dua hingga tiga jam.”

    Hampir separuh daripada karya yang dipamerkan menampilkan motif khas beliau, iaitu nanas dan kelapa sawit.

    “Nanas mewakili kampung halaman saya di Johor, manakala kelapa sawit melambangkan sumber asli Malaysia yang penting kepada ekonomi kita.

    “Saya juga menggabungkan elemen-elemen berkenaan kerana warna, bentuk dan teksturnya memberikan inspirasi kepada saya,” tambahnya.

    Karya seni Yeo dikenali melalui penggunaan pelbagai teknik lukisan.

    Beliau berkata dia memilih medium lukisan minyak kerana ia menonjolkan warna-warna yang cerah dan membolehkan pembentukan lapisan yang kaya dengan tekstur.

    Pameran itu turut menampilkan siri ‘Malaysian Pride,’ yang terdiri daripada enam hingga tujuh karya kesemuanya telah dijual.

    “Siri ini menggabungkan elemen 3D untuk mewakili budaya Malaysia dengan cara yang menenangkan dan harmoni,” katanya.

    Salah satu karya menggabungkan 12 elemen budaya yang berbeza, seperti permainan congkak Melayu, perabot Baba Nyonya, barang-barang yang digunakan dalam sembahyang Hindu dan objek lain yang melambangkan kaum dan budaya di Malaysia.

    “Elemen-elemen ini bertujuan untuk menyampaikan kepelbagaian budaya Malaysia melalui komposisi catan atau lukisan alam benda,” tambahnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda