Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) sedia membantu pelakon Rozita Che Wan, 51, atau Che Ta dan anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, yang didakwa gagal membayar pinjaman Majlis Amanah Rakyat (Mara) hampir RM1 juta.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez berkata, persatuan juga boleh menjadi orang tengah dengan mengadakan perundingan Rozita bersama pihak yang mengambil tindakan terhadapnya itu.
“Kalau kes macam ni, artis (Rozita) yang kena tindakan itu perlu menunjukkan keikhlasan untuk membuat pembayaran ansuran bagi selesaikan pinjaman terbabit.
“Selalunya ada jalan boleh diambil dan diterima pengadu tetapi itu semua bergantung pada perundingan serta niat orang yang terbabit menyelesaikannya.
“Itupun jika dia tunjukkan keikhlasan dan keinginan untuk menyelesaikan masalah berkenaan tanpa tindakan dari segi undang-undang.
“Dalam kebanyakan kes ia boleh diselesaikan tapi kadang-kadang mereka (pihak yang kena tindakan) tiada sumber-sumber yang boleh ditawarkan untuk menyelesaikan kes dan ia jadi satu masalah yang sukar diatasi,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada Rozita ada berhubung dengan KARYAWAN, kata Freddie, setakat ini, pelakon dan usahawan itu tidak ada menghubungi persatuan untuk mendapatkan nasihat atau bantuan.
“Sebenarnya, ini adalah masalah peribadi dan soal kewangannya. Saya rasa dia (Rozita) tidak berdaftar pun sebagai ahli persatuan.
“Tapi persatuan akan membantu mana-mana sahaja artis yang bermasalah kerana itulah tugas persatuan dalam industri seni.
“Kalau Rozita hubungi persatuan, kami tetap sudi untuk membantunya dan mungkin akan sertai KARYAWAN selepas ini,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Bahagian undang-undang MARA kini dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap Rozita dan anak sulungnya, yang gagal membayar pinjaman hampir RM1 juta. – Agensi